suria

'All Your Love' Kurang Promosi, Siti Serah Pada Anak Tiri

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza

CYBERJAYA: Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza mengakui album Inggeris pertamanya berjudul All Your Love kurang promosi walaupun telah beberapa bulan berada di pasaran.

Siti menjelaskan dia telah menyerahkan segala urusan promosi dan publisiti album tersebut kepada syarikat milik anak tirinya, Adib Khalid iaitu What's Up Entertaiment.

"Mungkin album tersebut kurang promosi tetapi jika What's Up Entertaiment ada merencanakan apa-apa aktiviti untuk All your Love, Siti akan berikan komitmen," ujarnya kepada mStar Online.

Siti mengulas ketika ditanya mengenai albumnya itu kurang mendapat promosi dan hanya bersandarkan kepada single pertamanya iaitu Falling In Love.

Tambahnya, pihak syarikat tersebut juga sedang merangka pelan untuk membawa album tersebut ke luar negara namun masih dalam proses perancangan.

"Harap-harap perancangan itu akan menjadi dan dapat mengembangkan kerjaya Siti ke peringkat lebih jauh," ulasnya.

Dalam pada itu, Siti berkata, dia ingin mengadakan sebuah konsert pada tahun ini selain merancang untuk menghasilkan sebuah album tradisional untuk para peminatnya.

Siti berkata, dia tidak kisah mengenai lokasi konsert berkenaan kerana yang penting dia dapat menghiburkan para peminatnya.

"Sudah lama Siti tidak mengadakan konsert untuk para peminat, jadi rasanya tahun ini Siti akan mengadakan sebuah konsert khas buat peminat.

"Album tradisional juga menjadi tumpuan Siti pada tahun ini kerana telah banyak peminat bertanyakan mengenai perkara itu dan InsyaAllah jika berpeluang semua itu akan terlaksana," ujarnya.

Sementara itu, Siti berkata, buat masa ini tumpuannya adalah kepada perniagaan kosmetik yang diusahakan iaitu produk Simply Siti dan memberitahu akan melancarkan produk terbaru pada 11 Februari ini.

Siti berkata, produk yang diberi nama Der'Magic itu adalah set penjagaan kulit pertama yang dihasilkan dibawah jenama tersebut menggunakan campuran Advanced Hydro-Cologen, Korean Plan Stem Sel dan Endorfin untuk meningkatkan perasaan gembira.

"Itu adalah kelebihan Der'Magic kerana ia mampu membangkitkan perasaan gembira kepada si pemakai dan Siti tidak sabar untuk mengeluarkan produk berkenaan untuk dicuba oleh pengguna," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Siti berkata, jenama Simply Siti juga akan mengeluarkan tiga jenis wangian pada pertengahan tahun ini sebagai salah satu langkah memperkukuhkan lagi kepelbagaian produk syarikatnya.

Namun Siti enggan mendedahkan butiran mengenai projek terbarunya itu dan berjanji akan mengadakan sidang media untuk memaklumkan mengenai perkhabaran terbaru itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain