suria

Benarkah Ana Raffali Nikah Pada 25 Februari 2012?

Ana Raffali
Ana Raffali
Ana Raffali

PETALING JAYA: Penyanyi Ana Raffali dilaporkan akan bernikah dengan pengurus peribadinya yang dijadualkan pada 25 Februari depan.

mStar Online difahamkan, majlis akad nikah Ana atau nama sebenarnya Nur Hidayah Mohd Raffali, 27, dengan pemuda yang dikenali sebagai Naim Abdullah itu akan berlangsung di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati, dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi.

Ana yang dihubungi mStar Online bagaimanapun enggan mengesahkan tarikh tersebut sebaliknya memberitahu akan mengadakan sidang media bagi mengumumkan perkara berkenaan selepas Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) yang akan berlangsung Ahad ini.

“Ada beberapa urusan berkaitan majlis ini yang belum diselesaikan. Sebab itu, saya tidak mahu menghebohkannya terlebih dahulu. Bagi saya, biarlah semuanya selesai, barulah saya akan umumkan kepada semua.

“Apa–apa pun, saya mohon semua pihak bersabar dan tidak tersalah anggap dengan keputusan saya ini. Tunggu sehingga saya adakan sidang media perkahwinan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Kecil hati

Sementara itu Ana menyifatkan tuduhan kononnya dia mahu menyembunyikan majlis pernikahannya seperti yang dilaporkan adalah sesuatu yang tidak adil buat dirinya dan keluarga.

Dia mengakui berkecil hati dengan dakwaan tersebut, berkata pihaknya memang sudah merancang untuk mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan berita gembira itu.

Bagaimanapun, keadaan menjadi sebaliknya apabila berita perkahwinan itu sudah tersebar dalam ruangan gosip sehingga disalah ertikan oleh segelintir pihak.

“Dakwaan (sembunyi perkahwinan) ini adalah tidak adil buat saya dan keluarga. Sudah tentu saya sebagai artis akan berkongsi berita baik ini apabila tiba waktu yang sesuai untuk saya umumkan.

“Masalahnya, saya sedang sibuk membuat persiapan untuk AJL26 pada Ahad ini. Saya dan keluarga sudah rancang untuk buat pengumuman perkahwinan selepas AJL selesai.

“Tidak sangka pula, berita itu sudah tersebar tanpa mendapatkan sebarang penjelasan atau pengesahan daripada saya terlebih dahulu,” katanya.

Penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku ini, berkata kesan daripada dakwaan itu memberikan gambaran yang tidak manis kepada dia sekeluarga.

“Apabila timbul cerita saya tidak jemput media dan rahsiakan perkahwinan, ia memberikan impak yang tidak baik kepada kami sekeluarga.

“Sampai hati pihak yang menyebarkan dakwaan itu. Ia seolah-olah menggambarkan yang kami tiada adab dan teruk sangat sehingga menyembunyikan berita baik ini daripada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Ana kini sibuk membuat persiapan terakhir bagi lagu Kalau Berpacaran nyanyiannya bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet yang akan bertanding dalam AJL26, malam Ahad ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain