PETALING JAYA: Keunggulan anugerah berprestij tahunan, Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) berjaya melakar sejarah baru apabila acara yang disiarkan secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil Ahad lalu, berjaya meraih jumlah penonton tertinggi iaitu sebanyak 6.5 juta.Menurut kenyataan ringkas yang dihantar melalui e-mel oleh pihak TV3, kajian daripada Nielsen Audience Measurement itu sekaligus mencipta rekod baru untuk stesen penyiaran TV3. Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, perancangan rapi acara tersebut ternyata membuahkan hasil lebih-lebih lagi, ramai yang memberikan respons positif mengenainya."Hasilnya bukanlah boleh dikira dengan wang ringgit sebaliknya melalui kepuasan menjadikannya satu acara di luar jangkaan."Bukan mudah untuk mencapai kadar jumlah tontonan keseluruhan mencecah lebih daripada 6.5 juta, segala keringat dan penat lelah tenaga kerja menjadi bukti bahawa tanggungjawab sebagai sebuah stesen TV dikongsi bersama menjadikannya sebuah acara gilang-gemilang.”Maklum balas yang diterima daripada para penonton juga amat menggalakkan malah pihak kami juga menerima permintaan daripada penonton untuk menyiarkan ulangan AJL26. Ini jelas membuktikan kewibawaan anugerah ini seharusnya diberikan pujian dan semoga terus sukses di masa akan datang,” katanya.Jumlah tontonan secara online mencecah 118,884, sekali gus memecahkan rekod AJL 25 tahun lepas iaitu 83,764 dengan peningkatan sebanyak 42 peratus.Acara yang dimulakan tepat pada pukul 9 malam itu mencapai angka tertinggi 'live streaming' pada pukul 10.55 malam dengan 20,768 hit berbanding 8,334 pada pukul 11.20 malam di AJL25 menjadikan Malaysia sebagai penyumbang utama kepada jumlah tontonan sebanyak 106,514, diikuti negara-negara lain seperti Singapura (3,271), Brunei (1,998), United Kingdom (1,790) dan Indonesia (1,032).AJL26 membawa dimensi baru dalam penganjurannya setelah memberi satu impak maksimum melalui persembahan pentas selain komitmen finalis yang membawakan lagu-lagu mereka dengan identiti, pemfokusan dan kreativiti masing-masing.Tahun ini juga memperlihatkan antara penganjuran terbaik membawa konsep berlainan bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-26, elemen air dipilih sebagai menerapkan perkembangan dan perjalanan arus muzik dan irama terutamanya dalam industri tempatan pada kemuncak acara gemilang ini.Tuah kali ini berpihak kepada penghibur muda berbakat, Hafiz yang berjaya muncul sebagai juara menerusi lagu popular Awan Nano ciptaan komposer Datuk M.Nasir dan lirik oleh Buddhi Hekayat.12 buah lagu lain yang turut bertanding ialah Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor)Diikuti dengan lagu Wanita Seluruh Dunia (Projek Pistol), Beribu Sesalan (3 Suara), Kekanda Adinda (Atilia & Monoloque), Sungai Lui (Aizat), Kisah Hati (Alyah) dan Gadis Semasa (Yuna).