suria

Tuah ‘Kisah Hati’ Bakal Lonjak Nama Alyah

Alyah
Alyah
Alyah

KUALA LUMPUR: Penyanyi Alyah yakin bahawa lagu Kisah Hati akan melonjakkan lagi jenama dan popularitinya pada tahap yang lebih tinggi pada tahun ini.

Pemenang kategori Persembahan Terbaik di Anugerah Juara lagu ke-26 (AJL26) itu, berkata berdasarkan pengamatannya, tuah lagu ciptaan sepenuhnya oleh Manusia Putih itu dijangka memberikan impak yang lebih besar kepada jenamanya sebagai penyanyi.

“Saya yakin dan percaya lagu kejayaan lagu Kisah Hati ini akan melonjakkan lagi nama saya di persada muzik tanah air selepas ini.

“Berdasarkan apa yang saya lihat menerusi lagu saya sebelum ini iaitu Tak Mungkin Kerana Sayang, ia telah memberikan impak yang besar pada kerjaya dan populariti saya.

“Jadi tidak mustahil ia akan berulang dengan kejayaan lagu Kisah Hati di AJL26 ini pula,” katanya.

Alyah yang tampil dengan konsep ‘cerita dongeng’ pada imej dan persembahannya di malam AJL26, Ahad lalu, berkata kejayaan tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk dia bekerja keras dan maju ke hadapan.

“Selepas 12 tahun berkecimpung dalam seni suara, saya anggap kejayaan lagu ini sebagai pembakar semangat dan pengubat kedukaan saya yang sering jatuh dan dilukai.

“Saya bersyukur atas kejayaan ini dan ia pasti menjadi motivasi untuk terus berusaha melonjakkan nama dan kualiti kerja saya ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Pada malam AJL26 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini, Alyah membawa pulang trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 selepas memenangi kategori Persembahan Terbaik.

Artikel Lain