suria

Ahmad Idham Ambil Mat Rempit Berlakon 'Apa Celop'

Ahmad Idham
Ahmad Idham
Ahmad Idham

PETALING JAYA: Pengarah popular Ahmad Idham Ahmad Nadzri memberitahu dia sering mengambil golongan remaja seperti mat rempit untuk berlakon dalam filem mahupun drama yang membabitkan genre aksi yang dihasilkannya.

Idham berkata, penglibatan golongan itu sekali gus dapat memberi peluang bekerja selain membersihkan mereka daripada gejala lumba haram yang pernah disertai dahulu.

"Sebenarnya saya telah mengambil golongan rempit ini berlakon bagi menunjukkan skil-skil hebat mereka sejak menghasilkan filem Remp-it lagi.

"Dan sehingga kini, khidmat mereka masih diperlukan dalam filem-filem saya termasuklah drama aksi komedi baru saya, Apa Celop.

"Selain itu, saya dapat mendalami jiwa 'geng rempit' ini dan mengupas kisah-kisah mereka dalam karya saya," katanya yang ditemui pada pelancaran drama Apa Celop di One Utama, di sini, Selasa.

Tambah Idham, sehingga ini, penglibatan golongan mat rempit dalam Apa Celop adalah kumpulan yang kelima.

Apa Celop, drama berbentuk aksi komedi, bakal disiarkan setiap Isnin mulai 20 Februari, pukul 9 malam di TV3.

Di bawah terbitan Excellent Pictures, drama bersiri 13 episod tersebut merupakan cetusan idea Idham yang bertindak sebagai pengarahnya manakala skrip ditulis oleh Meor Shariman.

Ia memaparkan pelbagai dilema dan masalah pelumba-pelumba haram yang menjalani kehidupan mereka di kota Kuala Lumpur.

Padat dengan aksi yang memukau mata, Apa Celop turut menyelitkan elemen-elemen komedi dan kisah cinta yang romantis.

"Drama ini mengisahkan tentang Aman (Kamal Adli) dan Sawi (Taiyuddin Bakar) bercadang untuk berlumba kali terakhir supaya memenangi duit dengan harapan mengadakan sebuah majlis perkahwinan secara besar-besaran bersama kekasih mereka, Julia (Amanda Misbun) dan Munirah (Ika Nabella).

"Namun, niat baik mereka terhalang selepas Aman memenangi perlumbaan itu di mana dia terpaksa membawa pulang seorang gadis kampung, Marsha (Wan Sharmila) yang dijadikan habuan kepada pemenang.

"Saya percaya ramai yang menganggap Apa Celop merupakan drama yang diadaptasi daripada Hantu Bonceng tetapi sebenarnya tidak. Ia sebuah kupasan baru tentang mat-mat rempit ini yang belum lagi saya paparkan kepada umum," ujarnya.

Penonton yang terlepas menyaksikan drama ini boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain