suria

Sharnaaz Selesa Ditemani Keluarga Shila Untuk Berdating

Sharnaaz Ahmad mengakui tidak pernah keluar berdua dengan Shila. Foto THE STAR Oleh BRIAN MOH.
Sharnaaz Ahmad mengakui tidak pernah keluar berdua dengan Shila. Foto THE STAR Oleh BRIAN MOH.
Sharnaaz Ahmad mengakui tidak pernah keluar berdua dengan Shila. Foto THE STAR Oleh BRIAN MOH.

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui tidak pernah keluar secara berdua-duaan dengan kekasihnya, penyanyi Shila Amzah sejak menjalinkan hubungan cinta kira-kira dua bulan lalu.

Sharnaaz sebaliknya berkata, sejak awal perkenalan lagi mereka sering ditemani oleh ahli keluarga Shila jika hendak ke mana-mana.

"Sebelum mengenali Shila pun dia memang ditemani oleh ibunya ke mana sahaja dia pergi dan perkara itu tidak akan berubah hanya semata-mata dia bercinta dengan saya sekarang.

"Kalau kami nak berjumpa dia pasti akan ditemani oleh ibu atau adiknya dan saya tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu," ujarnya.

Sharnaaz ditemui ketika majlis sidang media telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata, dia tidak pernah berasa terkongkong dengan situasi tersebut sebaliknya merasakan ia adalah peluang kepadanya untuk mengenali ahli keluarga Shila.

Sharnaaz memberitahu, dia senang dengan situasi berkenaan selain dapat merapatkan hubungan mereka.

"Setakat ini tidak pernah timbul isu kami rasa tidak selesa dengan kehadiran ahli keluarga jika kami hendak ke mana-mana malah saya berasa selesa keluar 'dating' bersama-sama ibu dan ahli keluarganya yang lain kerana ia dapat mendekatkan hubungan kami," ujarnya.

Malah katanya, ibu Shila yang mesra dikenali sebagai Kak Zie itu banyak menasihati mereka jika mempunyai sebarang masalah.

Ditanya penerimaan bapa Shila iaitu penyanyi, ND Lala mengenai hubungan cinta tersebut, Sharnaaz berkata, penyanyi itu menerimanya dengan baik namun meletakkan batas dalam pergaulan mereka.

"Alhamdulillahlah bapa Shila menerima saya dengan baik tetapi sebagai seorang ketua keluarga saya faham bahawa dia (ND Lala) perlu meletakkan sedikit jurang dan tegas dalam melindungi anak gadisnya.

"Saya hormati prinsipnya dan menyedari batas-batas pergaulan yang perlu dijaga supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari," ujarnya.

Panas baran

Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia senang dengan Shila kerana wanita berusia 22 tahun tersebut banyak mengajarnya mengenai erti bersabar ekoran sikapnya yang panas baran.

Katanya, belum pernah ada individu yang berjaya meredakan sikap buruknya itu melainkan Shila dan situasi itu menambahkan keyakinan bahawa wanita tersebut sesuai dengannya.

"Dia seorang yang sangat penyabar dalam semua perkara dan saya pula berbeza dengannya. Namun dia berjaya mengubah saya menjadi seorang yang lebih tenang dalam semua perkara," katanya.

Dalam perkembangan lain, pasangan bercinta itu bakal muncul dalam sebuah telefilem berjudul Patah Seribu pada 23 Februari ini. Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria.

Selain Sharnaaz dan Shila, drama tersebut turut dijayakan oleh Sharifah Shahora, Amar Baharin, Jihan dan Reza Mohd.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain