Ilhom Farmonov.KUALA LUMPUR: Penyanyi popular Uzbekistan iaitu Ilhom Farmonov memberitahu tidak melihat bahasa sebagai halangan buatnya untuk mencipta nama di negara ini.Ilhom yang ditemui berkata, walaupun tidak fasih berbahasa Inggeris dan sedar akan menyukarkan komunikasi dengan peminat tetapi dia yakin muzik dibawanya dapat menyentuh hati pendengar. "Saya sedar akan kepentingan bahasa untuk berkomunikasi dengan penonton atau peminat ketika membuat persembahan tetapi saya tidak mahu melihat perkara itu sebagai satu halangan untuk saya mencipta nama di negara ini," ujarnya kepada mStar Online.Ilhom berada di Malaysia bagi mempromosikan Persembahan Kebudayaan Uzbekistan dan Malaysia bersempena dengan sambutan ulangtahun ke-20 kerjasama antara dua negara itu.Tambahnya, Ilhom berkata dia tertarik untuk mencuba nasib di negara ini selepas kali pertama datang ke Malaysia pada tahun 2004 dan memberitahu terkejut dengan penerimaan masyarkat terhadap muzik yang dibawanya."Kali pertama saya datang ke Malaysia adalah pada tahun 2004 dan pernah membuat beberapa persembahan di sini dan terkejut dengan penerimaan rakyat negara ini terhadap muzik saya."Sejak itu saya memasang angan-angan untuk kembali di sini untuk bertemu dengan masyarakat di negara ini," ujarnya.Dalam pada itu, Ilhom berkata dia akan mengadakan sebuah persembahan khas untuk para penonton di Panggung Bandaraya di sini pada 24 Mac depan pada pukul 8 malam.Ilhom berkata dia akan menyampaikan lebih 10 buah lagu pada malam itu selain beberapa buah lagu rakyat berbahasa Malaysia khas buat penonton."Saya masih belum tahu lagu rakyat apakah yang akan disampaikan tetapi saya yakin penonton akan menyukainya," ujarnya.