suria

Farina (AF8) Tolak Tuduhan Bakal Kahwini Suami Orang

Farina (AF8)
Farina (AF8)
Farina (AF8)

PETALING JAYA: Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Farina menolak dakwaan kononnya dia bakal berkahwin dengan ahli perniagaan berstatus suami orang dalam masa terdekat seperti yang dilaporkan pihak media, baru-baru ini.

Sebaliknya, menurut Farina atau nama sebenarnya Zafarina Jamhari, 29, dakwaan tersebut hanya fitnah kerana hubungannya dengan lelaki bernama Mohd Irwan Iryani Suhaimy (Irwan) itu berlandaskan persahabatan biasa sahaja.

“Saya akui berkawan dengan dia (Irwan) tetapi kami hanya kawan biasa. Terus-terang, saya tidak terfikir pun untuk membawa hubungan kami ke peringkat seterusnya (berkahwin).

“Ia adalah fitnah kerana tiada apa-apa yang serius antara kami pada waktu ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online, petang Isnin.

Penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Hujung Minggu ini, berkata walaupun dia sudah mengenali anak lelaki kepada pengasas produk kosmetik Natasya itu sejak lebih setahun yang lalu, dia tidak pernah merancang untuk mengahwini lelaki itu dalam masa terdekat.

“Saya tahu latar belakang dan statusnya ketika mula-mula kami berkawan. Memandangkan hubungan kami tidak serius sehingga ke tahap hendak bernikah, jadi tidak ada apa yang perlu digusarkan.

“Sebagai wanita yang menghormati dan memahami perasaan isterinya apabila tersebar fitnah sebegini, saya tidak mahu komen lebih-lebih, cukuplah saya katakan tuduhan itu tidak betul,” katanya.

Menjelaskan dakwaan kepulangannya ke Bintulu, Sarawak pada hujung minggu lalu kononnya atas urusan majlis pertunangan dengan lelaki itu, Farina berkata kepulangannya ke kampung halaman kerana memenuhi undangan nyanyian di sana.

“Saya bukan balik ke kampung kerana majlis bertunang. Ia adalah dakwaan palsu. Takkanlah saya dan keluarga hendak sorok perkara baik macam ini daripada jiran-jiran dan khalayak umum.

“Saya pulang ke Sarawak kerana ada undangan nyanyian, selain beberapa urusan keluarga,” kata ibu tunggal yang mempunyai anak perempuan Dayang Hasya Yasmin, 9, ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Gambit Saifullah Nekad Berehat

Artikel Lain