suria

Yahya Sulong Masih Lemah, Dijaga Anak Saudara

Datuk Yahya Sulong.
Datuk Yahya Sulong.
Datuk Yahya Sulong.

PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon Datuk Yahya Sulong, 84, iaitu Datin Alisah Ali memberitahu keadaan suaminya masih lemah selepas dibenarkan keluar daripada Hospital Ampang minggu lalu.

Alisah, 65, berkata, suaminya masih sukar berjalan dan kini dijaga oleh anak saudaranya yang kebetulan tidak bekerja di sebuah perumahan di Setapak, dekat sini.

"Makcik bukan tidak mahu menjaga dia tetapi keadaan kesihatan makcik juga kurang baik. Suami pula sukar berjalan dan sering mengalami semput, kalau jatuh takut perkara lain pula timbul.

"Nasib baik ada anak saudara yang prihatin dengan keadaan kami, sudi untuk menjaganya buat sementara sehingga betul-betul sihat," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, Yahya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang selepas terjatuh daripada bilik air pada 20 Februari lalu.

Kejadian tersebut berlaku ketika beliau hendak buang air besar di bilik air rumahnya di Bandar Baru Sentul dekat sini tetapi atas sebab-sebab keuzuran, Yahya dipercayai telah tergelincir.

Dalam pada itu, Alisah berkata, dia berulang-alik menjenguk suaminya itu selang dua hari namun memberitahu kerap menelefon untuk bertanyakan keadaannya.

Tambahnya, dia mahu suaminya itu mendapat perhatian dan rehat secukupnya di bawah jagaan anak saudaranya itu supaya boleh kembali sihat seperti sedia kala.

"Keperluan untuk dirinya di sana telah makcik belikan untuk memudahkan anak saudara makcik ketika menjaganya. Jasanya menjaga suami makcik pun belum tentu dapat dibalas," katanya.

Pun begitu, Alisah berkata dia berharap suaminya itu akan cepat sembuh dan dapat kembali ke rumah mereka di Bandar Baru Sentul secepat mungkin.

Sementara itu tiga persatuan dan pertubuhan pada Rabu berbesar hati menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Yahya yang hilang sumber pendapatan kerana tidak lagi mampu berlakon.

Sumbangan bagi pihak artis disampaikan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan juga Pemangku Timbalan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi.

Turut memberi sumbangan ialah Pengerusi Biro Kebudayaan & Kesenian, Pemuda Umno Malaysia iaitu Jamawi Jaafar.

Artikel Sebelum

Artikel Lain