suria

Ahli Silap Mata, Mahdi Moudini Sangkal Guna Ilmu Hitam

Mahdi Maudini
Mahdi Maudini
Mahdi Maudini

PETALING JAYA: Ahli silap mata terkenal, Mahdi Moudini,37, menyangkal dakwaan kononnya dia menggunakan sihir iaitu ilmu hitam untuk mengaburi mata penonton dalam setiap persembahan yang dilakukannya.

Pemuda berasal dari Iran ini berkata, tuduhan itu tidak benar sama sekali kerana bukan semua ahli silap mata menggunakan unsur yang tidak sihat sebalik mempamerkan muslihat untuk “memperdayakan” mata penonton.

“Saya menolak acara silap mata saya mempunyai ilmu hitam sebaliknya ia merupakan muslihat yang saya pelajari sejak berusia lima tahun lagi daripada bapa dan datuk saya,” katanya kepada mStar Online di Menara Star di sini, Khamis.

Mahdi berkata ramai yang menuduhnya menggunakan ilmu hitam tetapi mereka semua tidak mengetahui silap mata boleh dilakukan jika seseorang mempelajari teknik-teknik serta disokong dengan alat-alat tertentu.

Jelasnya, sejak terlibat dalam bidang tersebut lebih 28 tahun, dia telah menghabiskan kira-kira RM1.8 juta untuk membeli peralatan silap mata bagi tujuan persembahan termasuklah prop yang digunakan untuk menghiburkan orang ramai.

Ujarnya, peralatan silap mata tidaklah semurah seperti yang disangka sebaliknya seseorang yang mahu mempelajari ilmu berkenaan hendaklah mempunyai wang yang banyak.

“Saya mengikuti kelas silap mata ini di negara saya ketika masih remaja. Saya mempelajari teknik-tekniknya selain mewarisi bakat daripada orang tua saya. Pada hari ini tidak ramai orang mengetahui silap mata itu sebenarnya boleh dipelajari dan ada alat-alat yang dibuat khas untuk tujuan berkenaan,” jelasnya

Malah katanya, ilmu berkenaan dapat dipelajari dengan mudah jika dipraktikkan sejak kecil malah dia turut mengajar dua anaknya yang berusia antara tiga dan lapan tahun kemahiran tersebut.

“Kalau anda melihat anak saya bermain silap mata, mesti anda akan kagum tetapi anda akan dapat mengesan muslihat yang hendak disembunyikan kerana mereka masih kecil dan masih lagi belum cekap,” jelasnya yang sudah bernikah dengan penduduk negara ini kira-kira lima tahun lalu.

Mahdi menambah dia juga sanggup menyahut cabaran jika ada pihak yang mahu menaja untuknya “menghilangkan” Menara Berkembar Petronas (KLCC) kerana teknik tersebut memerlukan kos yang banyak.

Selain itu dia memberitahu sedang menyiapkan kertas cadangan mengadakan kerjasama dengan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menunjukkan kepakarannya keluar daripada pesawat yang dinaiki dan berada di terminal.

“Saya bercadang untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana saya yang sudah menaiki kapal terbang, tiba-tiba boleh berada di bawah ketika kapal terbang sudah berlepas. Aktiviti itu juga memerlukan kos yang banyak untuk menyediakan kemudahan tertentu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain Mahdi akan muncul untuk mewakili negara dalam Magical Malaysia Festival yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 23 hingga 25 Mac depan.

Seramai 13 ahli silap mata terkemuka dunia akan mengadakan persembahan di pusat konvensyen tersebut melibatkan beberapa negara seperti Australia, Britain, Hong Kong, Scotland, Jerman dan Sepanyol.

Acara yang akan bermula pada pukul 3 petang dan 8 malam itu menampilkan persembahan luar biasa pemain silap mata dalam mempertontonkan kehebatan masing-masing.

Orang ramai yang ingin menyaksikan acara hebat itu bolehlah mendapatkan tiket yang dijual daripada RM98 hingga RM348.

Tiket untuk pakej keluarga pula dijual dengan harga bermula daripada RM698 hingga RM998.

Pembelian tiket juga boleh dilakukan dengan menghubungi 03-7880-7999 atau secara dalam talian menerusi www.ticketpro.com.my

Artikel Berikut

Artikel Lain