suria

Finas Saran Penerbit Filem Manfaatkan Teknologi 3D

Pengarah Studio Finas, Hassan Asbor Hassan Mutaat (kanan) dan Ketua Profesional Asia Tenggara Sony Corporation, Katsuhiro Masaoko. Foto KIMBERLY YEO
Pengarah Studio Finas, Hassan Asbor Hassan Mutaat (kanan) dan Ketua Profesional Asia Tenggara Sony Corporation, Katsuhiro Masaoko. Foto KIMBERLY YEO
Pengarah Studio Finas, Hassan Asbor Hassan Mutaat (kanan) dan Ketua Profesional Asia Tenggara Sony Corporation, Katsuhiro Masaoko. Foto KIMBERLY YEO

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meminta para penggiat filem supaya menghasilkan lebih banyak filem berkonsepkan teknologi stereoscopic 3D.

Menurut Pengarah Studio Finas, Hassan Asbor Hassan Mutaat, industri perfileman Malaysia seharusnya sudah mula membabitkan karya filem yang dihasilkan menggunakan teknologi tersebut seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara luar.

"Sudah tiba masanya untuk industri perfileman tempatan 'meneroka' teknologi stereoscopic 3D bagi setiap karya yang dihasilkan.

"Walaupun sudah ada syarikat penerbitan yang menggunakan teknologi itu tetapi masih sedikit bilangannya," katanya yang ditemui pada Seminar Teknologi Stereoscopic 3D Kerjasama Finas dan Sony di Studio Sound Stage Finas, di sini, Rabu.

Tambah Hassan, pihaknya mungkin akan memberi dana kepada penggiat-penggiat filem bagi penghasilan filem-filem berbentuk 3D.

Selain itu, Finas juga akan menyediakan bengkel dan latihan mengenai penggunaan teknologi Stereoscopic 3D dalam masa terdekat ini.

Mengenai Seminar Teknologi Stereoscopic 3D itu, ia merupakan langkah pertama dari Finas dan pihak Sony mengenai pendedahan terkini berkenaan dengan teknologi tersebut.

Menurut Ketua Profesional Asia Tenggara Sony Corporation, Katsuhiro Masaoko, jalinan kerjasama antara Finas mengenai seminar teknologi berkenaa dapat memberi pelbagai manfaat kepada penggiat filem menghasilkan karya 3D yang lebih berkualiti dan menarik menerusi produk peralatan perfileman jenama Sony.

"Seperti yang diketahui ramai, jenama Sony sememangnya merupakan produk yang tahan lasak dan boleh digunakan ke tahap maksimum.

"Justeru itu seminar ini dapat membuka ruang kepada penghasilan produk filem kreatif dengan lebih banyak terutamanya filem berbentuk cereka. Dalam pada itu pihak Sony juga tidak keberatan untuk memberi tunjuk ajar sekiranya Finas mengadakan bengkel khusus mengenai teknologi ini," ujarnya.

Di Hollywood, teknologi stereoscopic 3D telah lama diaplikasikan. Misalnya menerusi filem popular seperti “Avatar” dan “Shrek Forever After”.

Teknologi tersebut bukanlah perkara baru di Hollywood kerana ia telah wujud sejak tahun 1838 hasil ciptaan Sir Charles Wheatstone.

Artikel Lain