suria

Ahmad Idham Merajuk, Terbit Filem Seram Terakhir

Ahmad Idham. Foto LOW LAY PHON
Ahmad Idham. Foto LOW LAY PHON
Ahmad Idham. Foto LOW LAY PHON

KUALA LUMPUR: Kesal dengan kritikan dan pelbagai pandangan yang disifatkan sebagai tidak masuk akal, Ahmad Idham Ahmad Nadzri membuat keputusan untuk tidak lagi mengarahkan filem seram.

Idham berkata, dia trauma untuk menghasilkan lebih banyak filem seram apabila sering dituduh mempersendakan agama Islam setiap kali memaparkan penggunaan ayat-ayat suci Al-Quran dalam karyanya.

"Trauma dibuatnya apabila mengenangkan kembali isu filem Hantu Bonceng (HB) yang dikritik hebat gara-gara membabitkan ayat-ayat suci Al-Quran.

"Justeru itu, saya membuat keputusan Jangan Pandang-Pandang (JPP) adalah karya seram saya yang terakhir.

"Namun, apabila isu agama dibangkitkan dalam HB saya menyunting semula segalanya yang membabitkan ayat suci tersebut dalam JPP agar ia tidak menjadi isu kemudian hari. Benar, saya merajuk," katanya selepas tayangan perdana JPP di TGV 1Shamelin, di sini, Rabu.

Bagaimanapun, tambah Idham lagi, dia tidak menyalahkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) apabila 40 peratus adegan dalam JPP terpaksa dipotong, kerana mereka tidak mahu sebarang kontroversi dicetuskan oleh mana-mana pihak.

Walaupun banyak babak yang disunting, Idham berkata, JPP yang dilakonkan oleh Zizan Razak (Ajis), Sara Ali (Yaya), Miera Leyana (Marsha), (Ben) Nas-T dan Anith Aqilah (Diana) itu masih lagi menarik apabila karyanya itu diperkemas.

"Banyak babak yang telah dipotong dalam JPP, namun saya telah memperkemaskan filem ini agar ia dapat menggeletek hati penonton kerana ia bukan seram semata-mata.

"Sebaliknya terdapat komedi yang diselitkan di mana lawak yang diberikan itu bukan bersandarkan kepada dialog, tetapi situasi yang berlaku dalam plot penceritaannya," ujar Idham.

Filem terbitan Excellent Pictures ini, mengisahkan tentang pengembaraan sekumpulan pelajar yang dikehendaki membuat kerja kursus di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Terengganu.

Kerja kursus yang sepatutnya menjadi masa yang singkat bertukar kepada satu pengembaraan yang tidak pernah dialami apabila bot yang dinaiki mereka, hilang tanpa dikesan.

Dalam perjalanan mencari jalan keluar, Ajis, Ben, Marsha, Yaya dan Diana ditangkap oleh satu kumpulan jahat yang menetap di pedalaman kawasan itu.

"Saya harap, penonton terhibur dengan filem ini lebih-lebih lagi gandingan Zizan dan Sara Ali sememangnya berkesan kerana kedua-duanya mempunyai keserasian," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain