suria

Dr Ezani Dilantik Duta Kelima Produk MyChef

Dr Ezani.
Dr Ezani.
Dr Ezani.

KUALA LUMPUR: Juara MasterChef Malaysia musim pertama, Dr Ezani Farhana menyifatkan pelantikannya sebagai duta produk makanan dalam pek, myChef sebagai peluang keemasan yang tidak mampu ditolak.

Graduan pergigian berusia 26 tahun ini berkata pelantikan itu adalah penghargaan buat dirinya yang baru tiga bulan menceburi bidang hiburan.

"Saya berasa rendah hati dan berbangga dengan pelantikan ini. Ia adalah penghargaan dan peluang yang sangat besar kepada saya.

"Ini sekali gus menjadi pembakar semangat untuk saya lebih mendalami bidang masakan pada masa akan datang," katanya kepada mStar Online.

Dr Ezani ditemui selepas majlis pelantikannya sebagai duta kelima produk myChef pada Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia ke-9 (MIHAS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, petang Khamis.

Sebelum ini, empat chef selebriti popular iaitu Datuk Chef Ismail, Chef Liza, Chef Florence dan Chef Zam dilantik sebagai duta produk berkenaan.

Ditanya mengenai kemungkinan timbulnya pertikaian segelintir pihak memandangkan dia tidak mempunyai kepakaran dalam bidang masakan, Ezani menganggap peluang itu sebagai rezekinya.

"Saya sedar pasti ada pertikaian segelintir pihak mengenai pelantikan ini kerana saya bukan chef terlatih, cuma kebetulan saya mempunyai bakat memasak.

"Jika dilihat pada aspek bisnes, pelantikan ini mampu memberikan impak berbeza pada produk myChef kerana MasterChef Malaysia ditonton ramai," katanya yang dilantik sebagai duta produk itu bagi tempoh setahun.

Bercerita mengenai peranannya itu Dr Ezani berkata dia dipertanggungjawabkan untuk mencipta tiga resepi yang boleh dipasarkan di bawah jenama tersebut.

"Saya perlu menghasilkan 10 resepi yang bersesuaian untuk dipilih oleh myChef. Mereka akan memilih tiga resepi terbaik yang berpotensi untuk dipasarkan pada tahun ini juga.

"Saya belum boleh umumkan apa resepi yang akan saya hasilkan tetapi ia berdasarkan resepi yang biasa saya masak atau sesuatu yang baru.

"Mereka mahu resepi yang fusion dan bertemakan buah-buahan berasid seperti limau yang sinonim dengan saya ketika dalam MasterChef Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Flavor Innovation selaku pengeluar myChef, Mohd Fairuz Abdullah berkata pelantikan Dr Ezani adalah sejajar dengan objektif syarikat itu untuk mendekati kelompok pengguna yang lebih luas berdasarkan populariti wanita berkenaan.

"Sebelum ini, produk kami nampak terlalu serius dan matang, kini dengan kehadiran Dr Ezani kami mahu luaskan sasaran pengguna kepada golongan muda pula.

"Populariti dan latar belakang Dr Ezani yang muda, segar dan unik ini boleh memberikan imej baru pada produk kami," katanya.

Artikel Lain