suria

Lambakan Persatuan Artis Di Negara Ini Tidak Perlu - Shuhaimi Baba

Suhaimi Baba.
Suhaimi Baba.
Suhaimi Baba.

KUALA LUMPUR: Lambakan persatuan filem, artis dan karyawan di negara ini adalah sesuatu yang tidak perlu memandangkan industri tersebut tidak sebesar mana berbanding Hollywood, Bollywood dan Korea.

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Datin Paduka Shuhaimi Baba sebaliknya berkata, apa yang lebih penting kini ialah perlu adanya lebih ramai pemimpin yang benar-benar komited terhadap tanggungjawab menguruskan persatuan yang dipimpinnya dengan baik.

Menurut beliau, bilangan persatuan-persatuan artis, filem dan karyawan yang benar-benar aktif di negara ini adalah lebih kurang 10 dan angka tersebut sebenarnya boleh dikurangkan kepada empat sahaja.

"Apa yang kurang dalam konteks ini buat masa sekarang ialah ketiadaan barisan pemimpin yang benar-benar berkemampuan untuk menguruskan sesebuah persatuan. Aspek inilah yang harus kita perbaiki."

Beliau berkata demikian ketika ditemuramah dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24, baru-baru ini.

Suhaimi membuat penegasan itu sebagai mengulas lambakan persatuan-persatuan filem, artis dan karyawan tetapi dilihat tidak begitu berkesan dalam memperjuangkan nasib golongan sasar mereka.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mahadi J. Murat pula berpendapat, soal sama ada sesebuah persatuan itu harus wujud atau tidak, bergantung kepada kehendak ahli-ahli yang mewakili bidang kerjaya mereka.

Jelas beliau, soal banyak atau sedikit persatuan bukan perkara pokok tetapi apa yang lebih penting ialah kemampuan dan keberkesanan persatuan berkenaan memainkan peranan masing-masing.

"Banyak sikit itu adalah soal relatif. Tetapi apabila ada sedikit persatuan tetapi dengan pengkhususan yang betul, sudah pasti lebih mudah untuk merundingkan hal-hal yang berkaitan dengan apa yang ingin diperjuangkan," ujarnya lagi.

Di sebalik lambakan yang dimaksudkan itu, Mahadi bagaimanapun memuji beberapa persatuan seperti PFM dan Persatuan Pengarah Filem (PPF) yang dilihat mempamerkan fokus perjuangan dan pengurusan yang kemas.

Artikel Lain