Robin Bee GeesPENYANYI utama kumpulan Bee Gees, Barry Gibb telah bergegas ke London, dari Tennessee, Amerika Syarikat pada Sabtu selepas mendapat tahu, adiknya, Robin yang baru pulih dari rawatan kanser telah dimasukkan semula ke hospital.Menurut akhbar mingguan paling laris United Kingdom, The Sun, para doktor suspek Robin, 62, mengalami pneumonia. Hanya baru sebulan yang lalu, Robin melalui anaknya Robin-John, 29, telah mengumumkan bahawa beliau pulih sepenuhnya dari kanser selepas menjalani rawatan intensif.Barry, 65, bersama Robin dan saudara kembarnya Maurice membentuk kumpulan muzik yang paling popular dalam sejarah muzik dunia selepas The Beatle dan juga Abba.Maurice telah meninggal dunia sembilan tahun yang lalu pada usia 53 tahun.Sejak kematian Maurice, The Bee Gees tidak lagi membuat persembahan melainkan kemunculan dalam beberapa kerja amal dan juga sebagai ‘mentor’ dalam program popular The American Idol beberapa tahun lepas.Menurut The Sun lagi, anak Barry, Stephen, 39, yang kini mengikuti jejak langkah mereka sebagai penulis dan penggubah lagu akan turut menyertai bapanya di London dari Miami pada Ahad.“Mereka khuatir, ini adalah kali terakhir mereka akan bertemu dengan Robin walaupun semangatnya untuk melawan kanser itu sangat kuat,” kata salah seorang rakan keluarga Robin.Masalah kesihatan Robin bermula pada Oktober 2010 apabila beliau menjalani pembedahan usus yang mana masalah yang sama telah menyebabkan kematian kembarnya Maurice.Album kumpulan ini untuk filem Saturday Night Fever yang dihasilkan mereka pada tahun 1977 memecah rekod sebagai album soundtrack yang paling tinggi jualan di dunia iaitu sebanyak 40 juta unit dan yang keempat jualan paling tinggi dalam sejarah album untuk sepanjang masa.Bee Gees juga telah memenangi sembilan anugerah Grammy dari tahun 1978 sehingga ke tahun 2004.