suria

Alleycats Beraksi Di Singapura Sabtu Ini Selepas 36 Tahun

Alleycats
Alleycats
Alleycats

PETALING JAYA: Buat julung kalinya, peminat kumpulan legenda, Alleycats, akan dihiburkan dengan himpunan lagu terbaik mereka di Dewan Konsert, Esplenade, Singapura, Sabtu ini pukul 7.30 malam.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1969, ini kali kedua kumpulan yang popular dengan lagu Andainya Aku Pergi Dulu ini melakukan konsert solo di Seberang Tambak selepas kali terakhir pada tahun 1976.

Penyanyi utamanya Datuk David Arumugam berkata, konsert itu adalah peluang dinanti-nantikan olehnya kerana sudah lama tidak beraksi di negara berkenaan.

"Kali terakhir saya mengadakan konsert besar-besaran adalah pada tahun 1976 iaitu kira-kira 35 tahun lalu di National Theater, malah bangunan itu juga sekarang ini sudah tiada.

"Walaupun sering berkunjung ke Singapura untuk mengadakan persembahan di kelab dan tempat terbuka tetapi konsert kedua ini sungguh istimewa," katanya.

Bersempena penganjuran itu, Universal Music Malaysia akan menerbitkan sebuah album khas berjudul Alleycats – Istimewa Buat Singapura yang mengandungi dua cekera padat himpunan 22 lagu yang bakal dipersembahkan pada malam tersebut.

Antara lagu popular yang bakal dinyanyikan termasuk Hingga Akhir Nanti, Nota Terakhir, Seribu Bintang, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Berjuta Batu, Sampaikan Salam Cintaku, Senandung Semalam dan Layang Layang Terputus Talinya. Dalam pada itu, tambah David, dia tidak akan menolak jika peminat memintanya menyanyikan lagu yang tiada di dalam senarai pada acara itu.

"Tiada masalah, saya boleh menyanyikan beberapa lagu yang diminta pada konsert itu nanti," katanya dengan penuh semangat. Sementara itu, menurut penganjurnya, Fahmi Rais, mereka cukup berbesar hati kerana dapat membawa Alleycats ke Singapura memandangkan kumpulan itu mempunyai ramai peminat berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan.

"Alleycats adalah sebuah kumpulan yang hebat dan sudah tentu ramai yang menantikan persembahan mereka dan rata-rata ingin melihat Alleycats beraksi di Singapura.

"Persembahan tersebut juga merupakan pengiktirafan buat mereka kerana pihak pengurusan di tempat itu tidak sewenang-wenangnya membenarkan mana-mana artis membuat persembahan di lokasi berkenaan melainkan seseorang itu benar-benar mempunyai pengaruh kuat," ujarnya.

Artikel Lain