suria

Dr Siti Hasmah Dipujuk Setahun Untuk Terlibat Dalam Teater

Dari kiri: Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan Adlin Aman Ramli. Foto RAYMOND OOI
Dari kiri: Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan Adlin Aman Ramli. Foto RAYMOND OOI
Dari kiri: Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan Adlin Aman Ramli. Foto RAYMOND OOI

KUALA LUMPUR: Pihak produksi Teater Tun Dr Siti Hasmah mengambil masa setahun untuk memujuk bekas isteri Perdana Menteri ke empat itu bagi mendapat persetujuan daripadanya untuk mengadakan pementasan berkenaan.

Pengerusi World Islamic Network Television Sdn Bhd, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan berkata, kesukaran mendapat persetujuan daripada Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu adalah disebabkan beliau merasakan tiada perkara menarik mengenai dirinya untuk dipentaskan buat tatapan umum.

"Bukan sukar untuk mendapat kerjasama daripadanya tetapi beliau adalah seorang wanita yang cukup pemalu dan merendah diri merasakan tiada benda menarik untuk dipaparkan.

"Bagaimanapun selepas melihat kesungguhan kami di pihak produksi, beliau bersetuju. Malah beliau memberi kebenaran untuk menggunakan barang peribadi miliknya seperti baju, perhiasan untuk kegunaan pementasan itu nanti," ujarnya kepada mStar Online.

Khairuddin yang juga suami kepada pelakon Datin Umie Aida ditemui pada majlis sidang akhbar teater itu di sini pada Selasa.

Teater Tun Siti Hasmah bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 30 Ogos sehingga 8 September depan.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, teater itu nanti akan mengupas mengenai sisi Siti Hasmah sebagai seorang wanita, ibu dan isteri kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tujuan pementasan ini diadakan adalah untuk menghargai jasa wanita tersebut yang turut banyak menyumbang kepada pembangunan negara terutamanya dalam bidang kebajikan.

"Sebelum ini, banyak teater yang diadakan untuk menghargai Tun Mahathir tetapi tidak kepada isterinya.

"Jadi penerbitan teater ini adalah sebagai salah satu tanda penghargaan kepadanya atas sumbangan beliau selama ini," ujarnya.

Sementara itu, pengarah dan penulis skrip teater berkenaan, Adlin Aman Ramlie berkata, pementasan itu nanti akan membawa penonton menyusuri sisi lain bekas wanita pertama negara itu dengan mengangkat pelbagai peristiwa yang tidak pernah diketahui oleh umum sebelum ini.

Adlin bagaimanapun memberitahu, dia masih di peringkat awal menghasilkan draf skrip teater itu sebelum dibentangkan kepada Siti Hasmah untuk mendapatkan persetujuannya selain melakukan penambahbaikan terhadap skrip akhir nanti.

"Banyak peristiwa menarik mengenai diri beliau yang ingin ditonjolkan dalam pementasan itu nanti dan Tun memberikan kebebasan kepada kami untuk memilih apa yang terbaik untuk teater itu.

"Bagaimanapun pihak kami akan membentangkan skrip tersebut kepadanya bagi mendapatkan restu," ujarnya.

Tambah Adlin, selain Siti Hasmah, pihaknya mendapat maklumat dan kajian mengenai diri beliau daripada ahli keluarga, sahabat karib selain fakta dari Arkib Negara.

Ditanya mengenai pemilihan pelakon, Adlin memberitahu, pihak produksi sebulat suara memilih Erra Fazira bagi mendukung watak utama.

Adlin berkata, Erra yang telah berpengalaman dalam menyelidik personaliti Siti Hasmah dilihat calon paling sesuai untuk memegang peranan itu.

"Maklum mengetahui Erra sebelum ini pernah memegang watak beliau dalam pementasan teater Tun Dr Mahathir sebelum ini dan dia adalah calon paling sesuai.

"Tambahan pula, beliau adalah seorang yang pendiam dan pemalu jadi agak sukar memahami karakternya dan untuk Erra itu tidak menjadi masalah kerana dia pernah mengkaji personaliti Tun Hasmah," katanya.

Adlin berkata mereka turut bercadang untuk mengambil pelakon, Aaron Aziz sebagai watak Dr Mahathir tetapi masih di peringkat perbincangan.

"Selain Erra, nama-nama lain masih belum diputuskan untuk terlibat sama dalam teater ini kerana pihak kami masih membuat pilihan berdasarkan watak," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adlin berkata pihaknya yakin teater ini akan mendapat sambutan daripada para peminat yang kebanyakannya memang ternanti-nantikan kemunculan sebuah teater yang mengangkat kisah hidup wanita yang digelar 'ibu' oleh rakyat Malaysia.

Artikel Lain