suria

'Upin & Ipin The Musical' Tidak Perlu Tunggu Cuti Sekolah

KUALA LUMPUR: Populariti jenama animasi Upin & Ipin terbukti apabila teater Upin & Ipin The Musical mendapat sambutan yang baik walaupun ia tidak dipentaskan pada musim cuti persekolahan.

Penerbitnya Burhanuddin Md Radzi bahawa Burhanuddin yang juga Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd berkata respons positif ini dapat diihat berdasarkan penjualan tiket yang memberangsangkan.

"Berdasarkan pengalaman kami terhadap populariti Upin & Ipin, slot tarikh pementasan tidak menjadi isu walaupun ia dipentaskan pada waktu persekolahan biasa.

"Tidak semestinya ia perlu dipentaskan pada musim cuti sekolah sahaja. Penjualan tiket yang baik membuktikan ia mendapat sambutan daripada masyarakat," katanya ketika ditemui selepas pementasan pembukaan teater itu di Istana Budaya, di sini.

Muzikal arahan Zaifri Husin itu kini dipentaskan bermula malam Sabtu lalu hingga 7 Mei depan.

Burhanuddin berkata, dengan sambutan yang baik itu dia berharap agar teater itu dapat dieksport dan dipentaskan ke negara-negara serantau termasuk Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina selepas ini.

"Saya berharap teater ini akan menyusur jejak langkah kejayaan filem dan siri animasinya yang berjaya ditayangkan di luar negara.

"Beberapa wakil daripada Singapura, Indonesia dan Filipina akan dapat menonton teater ini jika mereka berminat untuk membawanya ke luar," katanya.

Dalam pada itu, Burhanuddin turut memberitahu persembahan bertarikh 28 April ini terpaksa dibatalkan dan ditunda pada 1 Mei depan ekoran kemungkinan perhimpunan Bersih 3.0 yang dijangka diadakan pada tarikh tersebut.

"Kita terpaksa batalkan persembahan siang pada tarikh 28 April ini demi keselamatan semua. Mujurlah pada tarikh itu kita hanya ada slot persembahan siang sahaja.

"Slot itu sudah ditempah sepenuhnya di mana kebanyakannya dibeli oleh pelajar-pelajar sekolah antarabangsa. Ia akan dibawa ke tarikh baru, 1 Mei depan," katanya.

Muzikal itu adalah pementasan paling lama dipentaskan dalam sejarah Istana Budaya iaitu sebanyak 30 persembahan sepanjang 23 hari.

Tiket-tiket berharga RM33, RM53, RM83, RM103, RM153, RM203, RM253, RM353 dan RM453 boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.biz.

Layari blog rasmi, www.upinipinmusical.blogspot.com untuk informasi lanjut.

Artikel Lain