suria

Rahim Maarof Muncul Di Kelab Malam Selepas 20 Tahun

Rahim Maarof teruja untuk kembali ke pentas kelab malam selepas 20 tahun tidak berbuat demikian. - Foto BRIAN MOH.
Rahim Maarof teruja untuk kembali ke pentas kelab malam selepas 20 tahun tidak berbuat demikian. - Foto BRIAN MOH.
Rahim Maarof teruja untuk kembali ke pentas kelab malam selepas 20 tahun tidak berbuat demikian. - Foto BRIAN MOH.

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Rahim Maarof bakal kembali menyanyi di kelab malam secara eksklusif selepas 20 tahun semata-mata untuk menjayakan sebuah persembahan istimewa buat para peminatnya di Rum Jungle Bar & Restaurant di sini pada 6 Mei depan.

Rahim berkata, dia mengambil keputusan itu kerana ingin mengimbau kembali kenangan ketika zaman silamnya.

"Saya bermula sebagai seorang penyanyi kelab dan kali terakhir membuat persembahan kira-kira 20 tahun lalu.

"Kemunculan semula ini juga adalah sebagai salah satu cara untuk saya mengimbau kenangan dulu," ujarnya kepada mStar Online.

Rahim ditemui semasa sidang media bagi memaklumkan persembahannya berjudul “Rahim Maarof – Gigit” di sini pada Rabu.

Tambah Rahim dia juga begitu rindu untuk bertemu secara dekat dengan para peminatnya pada konsert mini tersebut.

Ujarnya, permintaan peminat yang mahu melihat dia membuat persembahan secara “live” telah membuatkan dia bersetuju untuk mengadakan persembahan itu.

"Saya sudah rancang untuk mengadakan pertunjukan ini lebih dua tahun lalu.

"Alhamdulillahlah baru sekarang dapat melaksanakan hajat itu," ujarnya.

Dalam pada itu, Rahim berkata, persembahan yang bermula pada pukul 10 malam itu dia akan mempersembahkan lebih 15 buah lagu seperti Istana Menanti, Usang, Shakila termasuk single terbarunya.

Bagaimanapun kata Rahim, dia tidak mahu mendedahkan butiran mengenai lagu terbaru itu kerana ingin memberi kejutan kepada para peminat.

"Lagu itu saya tulis sendiri dan telah pun siap sepenuhnya. Jika peminat ingin mendengar dan mengetahui judulnya kena datang ke Rum Jungle," katanya.

Persembahan itu turut diiringi oleh pemuzik daripada Havoq Studio diketuai oleh Man Greng daripada kumpulan Gersang.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan menjelang persembahan itu nanti, Rahim berkata, dia dan pemuziknya kini giat menjalankan latihan setiap hari bagi memastikan konsert itu meninggalkan kenangan manis buat peminat.

Dalam perkembangan lain, Rahim berkata, pihaknya juga berhasrat untuk mengadakan persembahan di beberapa lokasi di seluruh negara seperti Pulau Pinang, Johor, Kuantan dan Sabah sebagai susulan konsert mini itu di Kuala Lumpur.

Namun perkara itu masih dalam perbincangan selain sedang mendapatkan tarikh sesuai.

"Konsep masih sama iaitu menyanyi di kelab tetapi kami masih menanti tarikh sesuai.

"Kita juga ada menerima pelawaan untuk mengadakan persembahan di Singapura. Harap-harap perancangan itu akan menjadi," ujarnya.

Rahim juga memberitahu, selepas selesai konsert di Kuala Lumpur, dia akan memberikan tumpuan kepada single terbarunya untuk dipromosikan di stesen radio tempatan selain merancang untuk kembali dengan album terbaru.

Bayaran untuk menyaksikan persembahan eksklusif Rahim dikenakan sebanyak RM53 (pra-jualan) dan RM63 termasuk satu minuman percuma.

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi www.ilassotickets.com atau boleh menghubungi 03-7957 6088 untuk keterangan lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain