Fida IbrahimPETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) menepis sekeras-kerasnya dakwaan terbaru kononnya dia sudah bernikah secara senyap-senyap dan menjadi isteri kedua seorang usahawan berstatus VIP pada awal bulan ini di Perlis.Pelakon berusia 26 tahun itu berkata tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana pada waktu tersebut dia sedang berada di lokasi penggambaran sebuah drama. “Tuduhan saya bernikah secara senyap-senyap adalah tidak betul sama sekali. Ini adalah fitnah kerana pada waktu yang dikatakan saya melangsungkan pernikahan itu, saya berada di lokasi penggambaran.“Jujurnya, saya pun tidak tahu mengenai perkara sehingga ia kecoh diperkatakan di laman Twitter pada baru-baru ini tetapi ia (pernikahan) memang tidak berlaku,” jelasnya ketika dihubungi mStar Online.Terdahulu, pada Disember tahun lalu mStar Online pernah melaporkan pengakuan aktres itu menjalin hubungan dengan VIP tersebut yang sudah dikenalinya hampir dua tahun lalu menerusi jaringan perniagaan.Difahamkan juga, Fida menyembunyikan hubungan mereka kerana enggan menimbulkan kekecohan memandangkan VIP itu sudah berkahwin.Ditanya adakah dia cuba menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum, bekas kekasih kepada pelawak Mamat (Sepah) ini menganggapnya sebagai salah faham.“Perkara ini timbul atas dasar salah faham. Mungkin ada orang yang seiras wajah saya melangsungkan pernikahan pada waktu dan lokasi yang dikatakan itu.“Secara tidak langsung saya pula dikaitkan dengan perkara ini. Jika benar saya bernikah, tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya.Beralih kepada perkembangan kerjaya, impiannya untuk bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan apabila Fida mengesahkan bakal muncul dengan lagu single pertama berjudul Apo Kono Eh Jang yang pernah dipopularkan Ally Noor dan Mastura pada tahun 1980-an“Lagu itu digubah semula dengan susunan baru yang sesuai dengan muzik semasa. Ia dijangka keluar pada hujung April atau selewat-lewatnya awal Mei depan.“Menariknya, saya akan berduet dengan kumpulan Stellar Band dan diterbitkan oleh Sheikh Qalam,” katanya yang bakal terlibat dalam telefilem Nasib Si Pemandu Limousin.