suria

Haiza Hamil Empat Bulan Selepas Lima Tahun Berkahwin

Haiza
Haiza
Haiza

PETALING JAYA: Selepas lima tahun menanti, penyanyi Haiza amat bersyukur kerana disahkan mengandung yang mana usia kandungannya sudah mencecah empat bulan.

Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, berkata, dia tidak mengalami sebarang alahan atau gangguan terhadap kandungannya selepas disahkan hamil.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak menghadapi sebarang gangguan atau alahan yang serius. Boleh dikatakan, semuanya berjalan dengan lancar dan baik.

“Malah, saya sendiri pun berasa pelik apabila berbadan dua kerana pergerakan dan kesihatan saya berada pada tahap baik dan langsung tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, petang Khamis.

Haiza bernikah dengan Norhanapfe Omar di Masjid Temenggung Daeng Abdul Rahman, Pontian, Johor pada 24 Ogos 2007.

Ditanya mengenai pengalaman menarik sejak hamil, penyanyi lagu Dag Dig Dug itu berkata, dia tidak mengidam atau meminta perkara yang pelik-pelik seperti yang berlaku kepada kebanyakan wanita hamil lain.

“Buat masa ini memang saya tidak minat atau teringin benda yang pelik-pelik. Mungkin juga kandungan masih terlalu awal, saya tidak pasti tetapi saya bersyukur kerana keinginan saya berada dalam keadaan terkawal.

“Kalau pun ada, saya pantang menonton iklan makanan di televisyen, pasti saya akan teringin dengan serta-merta.

“Baru-baru ini, saya terlihat iklan makanan segera Subway. Suami pula baru keluar dan saya terpaksa ajak kakak dan anak buah yang kebetulan tinggal berdekatan menemani saya ke restoran itu,” katanya.

Diminta berkongsi mengenai perasaan hamil selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, Haiza melihat banyak hikmah dengan ketentuan tersebut.

“Saya akui pernah terdetik dalam hati perasaan bimbang jika memang ditakdirkan saya tidak akan mendapat zuriat sendiri tetapi suami selalu tegur dan tidak mahu kami berputus asa dan berusaha.

“Alhamdulillah, kini selepas hampir lima tahun berkahwin, rezeki ini datang kepada kami. Cepat atau lambat (dapat anak), saya percaya setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan