AsmidarPETALING JAYA: Juara program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa iaitu Asmidar menepis pandangan sinis sesetengah pihak yang menuduh dirinya sebagai artis kelas rendah (low class) apabila pembikinan klip video lagu nyanyiannya ditaja sebuah syarikat produksi.Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad, 26, berkata, tidak mudah untuk sesebuah syarikat produksi mengeluarkan perbelanjaan bagi menaja sesuatu perkara jika ia tidak mendatangkan hasil. “Ketika menerima tawaran untuk pembikinan klip video lagu nyanyian saya iaitu Biar Sampai Ke Bintang, saya tidak berfikir panjang sebaliknya terus menerima tawaran itu. Saya amat bersyukur kerana tidak semua artis terpilih untuk mendapat tajaan sedemikian.“Ia tidak meletakkan saya seperti artis “low class” kerana mengambil peluang itu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini.Penyanyi itu diminta mengulas pandangan segelintir pihak yang menganggap dirinya sebagai artis kelas rendah kerana mengharapkan tajaan untuk pembikinan klip video single lagu pertamanya Biar Sampai Ke Bintang.Klip itu ditaja oleh Tanah Beris Filem Production arahan pengarah Shuhaimi Lua yang dihasilkan sebagai lagu tema telefilem Perempuan Tanpa Rahim lakonan Eja, Puteri Mardiana, Azrel Ismail dan Normah Damanhuri.Drama berkenaan masih dalam proses suntingan dan belum mendapat tarikh tayangan.Asmidar memberitahu, pada dasarnya dia tidak mampu untuk menghasilkan klip videonya sendiri dan melihat pandangan sinis segelintir pihak itu bukanlah masalah utama.Apa yang lebih penting katanya, hasil karya itu dapat ditonton oleh para peminat malah dalam masa yang sama dia dapat mempromosikan dirinya menerusi klip video berkenaan.Sementara itu Shuhaimi Lua berkata, Biar Sampai Ke Bintang dipilih sebagai lagu tema Perempuan Tanpa Rahim kerana bersesuaian dengan jalan cerita drama tersebut yang berkisar mengenai kasih sayang antara ibu kepada anak luar nikahnya.Kata beliau, pendekatannya untuk menaja pembikinan klip video itu harus dilihat sebagai positif kerana ia bukan bertujuan meraih publisiti murahan sebaliknya sebagai memperkukuhkan profil syarikat.“Ini bukan klip pertama saya taja. Sebelum ini saya menghasilkan klip video untuk lagu Ratapan Syawal nyanyian Fazli Zainal selain mengarahkan klip video Farawahida dan Haiza,” katanya sambil memuji lakonan Asmidar dalam karya tersebut.Jelas Shuhaimi, kehebatan vokal Asmidar serta kekuatan lirik lagu nyanyian wanita itu antara faktor yang menguatkan lagi percubaannya untuk mengeluarkan bajet syarikat bagi mempromosikan penyanyi berkenaan selain telefilem pertama arahannya itu.