suria

Aliff Aziz Belum Sedia Tukar Kerakyatan

Aliff Aziz
Aliff Aziz
Aliff Aziz

PETALING JAYA: Penyanyi Aliff Aziz mengakui dia belum bersedia untuk menjadi penduduk tetap negara ini walaupun banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur bagi urusan kerjaya nyanyiannya.

Aliff yang merupakan warganegara Singapura itu berkata, dia baru sahaja menetap di Kuala Lumpur sejak Januari lalu dan ingin melihat kemampuannya untuk bertahan dalam industri hiburan tempatan.

"Rasanya masih awal lagi untuk saya membuat permohonan bagi menjadi penduduk tetap di Malaysia. Tambahan pula belum sampai setahun lagi saya menetap di Kuala Lumpur.

"Umur saya pula baru saja 21 tahun dan saya belum bersedia untuk menukar kerakyatan saya. Setakat ini saya hanya berulang alik dari Kuala Lumpur ke Singapura tiga bulan sekali," katanya selepas pelancaran album ketiganya berjudul Aliff Aziz.

Tambah Aliff, dia percaya muzik-muzik yang dibawakannya masih boleh menawan hati peminat-peminatnya di Malaysia.

Mengenai album terbarunya terbitan Sony Music, Aliff masih lagi kekal dengan lagu berkonsepkan pop seperti dua albumnya sebelum ini.

"Selepas dua tahun melaksanakan tanggungjawab menjalani latihan khidmat negara di Singapura, secara pantas saya hasilkan album ketiga ini dengan bantuan dua komposer yang sangat saya gemari iaitu Azlan Abu Hassan dan Panji Sakti.

"Menariknya, album pada kali ini menampakkan kematangan saya walaupun penyampaian muzik saya berbentuk keremajaan.

"Dan bayangkan saya mengambil masa selama tiga minggu sahaja untuk menyiapkan album ini. Walaupun sekejap sahaja rakamannya tapi Alhamdulillah, hasilnya bagus. ," ujarnya.

Album terbaru Aliff yang telah pun berada di pasaran sejak 20 Mac lalu ini memuatkan sebanyak 10 buah lagu antaranya Jangan Ganggu Pacar Ku, Cinta Ya Cinta, Hanya Lagu, Sudah Nasib Ku, Cinta Dusta, Setiap Detik, Nada Cinta dan Dilema Cinta (menampilkan Hao Ren) termasuklah dua lagu berbentuk 'minus one'.

Artikel Lain