Saiful Apek.PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa bacaan ujian pengesanan kanabis terhadap air kencing pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya adalah melebihi takat pengesanan dadah.Rozita Abdullah, 41, pegawai sains di Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, berkata keputusan bacaan ujian itu diketahui selepas ujian pengesanan kanabis dibuat terhadap sampel air kencing empat tertuduh itu pada 22 Jun 2010. "Begitu juga dengan ujian saringan dadah yang dilakukan kepada kesemua mereka, keputusan kesemua bacaan air kencing mereka melebihi takat itu," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.Pada 1 November tahun lepas, Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.Ketika disoal Ahmad Ishrakh mengenai yang mana satu ujian konklusif dalam menentukan kehadiran dadah terhadap air kencing sama ada melalui ujian saringan atau ujian pengesahan, saksi keenam pendakwaan itu berkata ujian pengesahan adalah konklusif berbanding ujian saringan yang tidak konklusif.Rozita berkata ujian saringan untuk mengesan kehadiran dadah dalam air kencing tidak konklusif kerana ujian saringan dibuat secara biasa serta tidak sensitif.Sementara itu, saksi kelapan pendakwaan Pegawai Penyiasat, Bahagian Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, Insp Syed Mohd Rahayat Syed Mohd Ramli, 30, memberitahu beliau menerima sampel air kencing empat tertuduh daripada Pegawai Risikan Cif Insp Mohd Shaifuddin Zulkifli, 31, yang bertugas di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daripada IPD Subang Jaya."Selepas menerima botol air kencing kesemua mereka (tertuduh), saya terus menyemak label pada sampel itu yang tertera nama dan nombor kad pengenalan mereka dan kemudiannya saya simpan kesemua botol itu dalam peti sejuk di bilik saya dan menguncinya," katanya.Beliau berkata kesemua botol air kencing itu berada dalam keadaan baik semasa berada dalam kawalannya dan kesemua botol berkenaan diserahkan kepada Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 18 Jun 2010 untuk tindakan lanjut.Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada pukul 11 malam, 12 Jun 2010.Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000. Keempat-empat tertuduh diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim.Perbicaraan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid bersambung 22 Mei ini. - BERNAMA