suria

Album Baru Diharap Dapat Naikkan Nama Nurul Wahab

Nurul optimis album terbarunya bakal mendapat perhatian daripada peminat.
Nurul optimis album terbarunya bakal mendapat perhatian daripada peminat.
Nurul optimis album terbarunya bakal mendapat perhatian daripada peminat.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab berharap kemunculan album mini terbaru nanti akan melonjakkan kembali namanya.

Nurul, 35, berkata, dia sangat teruja dengan kemunculan album tersebut dan yakin peminat akan menyukai selepas kecewa dengan penerimaan album Tika Cinta yang diterbitkan pada 2009.

"Album ini dihasilkan dengan lebih teliti berbanding album terdahulu kerana saya ingin pastikan ia dapat diterima oleh peminat setia dan pendengar secara keseluruhan.

"Saya memastikan bukan sahaja produksi album tersebut dibuat dengan baik tetapi juga promosi dan pemasaran dilakukan dengan menggunakan landasan betul supaya ia tidak menerima nasib seperti Tika Cinta," ujarnya kepada mStar Online.

Memuatkan lima buah lagu iaitu Mari, Cinta Nurul, Selamat Jalan, Kerana kau Ada dan Takut Paranoia, album mini tersebut bakal dilancarkan pada hari pernikahannya bersama Eric Daniel Depp, 47, pada 6 Jun depan.

Dalam pada itu, Nurul memberitahu, album barunya itu diterbitkan sesuai dengan usianya kini selain mengikut perkembangan muzik semasa.

Dia menyuntik pelbagai elemen baru dalam album tersebut supaya peminat tidak mendapat karya sama seperti yang pernah diterbitkan sebelum ini.

"Keutamaan saya ketika menerbitkan album ini adalah saya mahukan melodi yang berbeza dan bukannya sama seperti yang pernah saya rakamkan 18 tahun lalu," katanya.

Mendapat kerjasama daripada Andi Merican, Nadia Aquila dan Don Mukri, Nurul berkata, komposer muda itu berjaya menghasilkan lagu yang dikehendakinya.

"Walaupun tidak menulis lirik lagu-lagu dalam album itu nanti tetapi penulis seperti Shah Shamsiri, Eenaz Mokhtar dan Sulu Sarawak telah berjaya menghasilkan karya yang sesuai dengan perjalanan hidup saya seperti mana dimahukan," ujarnya.

Sementara itu, Nurul berkata, album berkenaan diterbitkan sendiri olehnya dibawah syarikat NHW Productions Sdn Bhd menggunakan kos sendiri.

Dia juga turut merancang untuk menerbitkan album artis lain dibawah syarikat produksinya itu pada masa hadapan.

"Ini adalah permulaan yang baik selepas pelbagai rintangan dilalui sebelum ini dan Insya Allah semuanya akan berjalan seperti dirancang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain