Zizan akui lebih menitikberatkan kesihatan selepas insiden dia dimasukkan ke hospital baru-baru ini. PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zizan Abdul Razak atau Zizan (Raja Lawak) baru terfikir dia tidak seharusnya terlalu kuat bekerja sehingga menyebabkan dirinya jatuh sakit.Zizan berkata, kejadian dia dimasukkan ke hospital akibat keradangan pada otot baru-baru ini telah menyedarkan dirinya tentang kepentingan menjaga kesihatan. "Kerja dan wang bukan segala-galanya kerana tanpa kesihatan yang baik kita langsung tidak mampu melakukan apa-apa."Saya terlalu seronok bekerja sehingga tidak memikirkan tentang kesihatan diri namun ia adalah pengajaran terbaik buat diri saya selepas ini," katanya kepada mStar Online.Zizan pada 29 April lalu telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai dekat sini akibat keradangan otot semasa bersiap untuk bertolak ke Ipoh bagi menyertai Karnival Jom Heboh.Dalam pada itu, ditanya mengenai tahap kesihatannya kini, Zizan berkata dia berasa lebih sihat selepas dapat berehat selama dua minggu dan doktor ada menasihatkannya supaya mengehadkan masa bekerja.Malah akibat masalah itu pengurusnya Marina Juki telah menapis beberapa tawaran bagi memastikan Zizan mempunyai masa untuk berehat sebelum menerima tawaran baru."Alhamdulilah sekarang berasa lebih sihat dan segar tetapi perlu lebih prihatin terhadap kesihatan dan masa berehat yang lebih berkualiti," ujarnya.Tambah Zizan, dia juga amat terharu dengan sokongan dan perhatian yang telah diberikan oleh rakan-rakanya sepanjang dimasukkan ke hospital.Sementara itu, Zizan berkata dia bakal kembali ke lokasi penggambaran filem Tokan yang sedang menjalani penggambaran di Melaka selain akan mengacarakan program Melodi seperti biasa selepas ini.