Salina SaibiPETALING JAYA: Pelakon Salina Saibi berkata dia semakin menekankan aspek penjagaan kesihatan dan bentuk badannya sejak bergelar ibu, tiga tahun lalu.Salina, 30, berkata atas kesedaran itu dia begitu menitikberatkan soal pengambilan makanan dan senaman bagi mengekalkan bentuk fizikal yang menarik dan ideal untuk urusan kerja. “Apabila umur semakin meningkat dan selepas bergelar ibu, tentulah fizikal juga akan berubah kalau tidak dijaga dengan baik.“Sebab itu, saya sangat menekankan jenis makanan yang saya ambil. Kalau tanya rahsia saya adalah diet yang sihat dengan mengambil sayuran dan buah-buahan, selain mengurangkan makanan berkolesterol,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.Ibu kepada Farah Syakira, 3, ini berkata, selain aspek pemakanan dia juga kerap bersenam termasuklah berenang bersama anaknya itu.“Saya akan berenang dengan anak saya setiap minggu. Bukan saja amalan itu baik untuk kesihatan dan bentuk badan tetapi ia juga waktu terbaik untuk saya luangkan bersama anak saya,” ujarnya.Berkongsi mengenai kehidupan sebagai seorang ibu, pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-22 (menerusi Bohsia... Jangan Pilih Jalan Hitam) ini berkata pengalaman tersebut memberikan kebahagiaan dan keseronokan kepadanya.“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata. Sejak jadi ibu tiga tahun yang lalu, saya sangat seronok menghabiskan masa dengan suami dan membesarkan anak saya,” jelasnya.Terbaru, Salina baru sahaja terlibat dalam penggambaran drama Asmara Beijing terbitan Skop Productions, selain drama bersiri Metro Skuad dan filem Jalan Kembali... Bohsia 2.Dalam filem sekuel kepada Bohsia yang masih diarahkan Syamsul Yusof itu, Salina menggalas watak sebagai Amy yang kini mahu kembali ke pangkal jalan daripada kesilapannya yang lalu.“Bagi saya, watak Amy untuk filem kali ini sangat mencabar. Ia menuntut permainan emosi yang tinggi kerana dia sudah bertaubat dan mahu kembali ke pangkal jalan.“Saya akui bukan mudah untuk bawa watak baik sebenarnya kerana sebelum ini saya sudah terbiasa dengan watak antagonis dan lasak,” kongsinya.Filem Jalan Kembali... Bohsia 2 yang turut dibintangi antaranya Nabila Huda, Syamsul Yusof, Sofi Jikan dan Zizan Razak bakal menemui penonton pada 7 Jun depan.