To'Ki kecewa dengan tuduhan dia meminta sedekah di Pasar Borong Selayang. Foto UTUSAN MALAYSIAPETALING JAYA: Penyanyi popular era 90 an, To'ki atau nama sebenarnya Mohd Zaki Mansur kecewa apabila ada laporan mendakwa dia menjadi peminta sedekah dan sering merayau-rayau di Pasar Borong Selayang, dekat sini.To'ki berkata, cerita berkenaan adalah fitnah semata-mata dan dia benar-benar tidak menyangka ada pihak sanggup menuduh dan memalukan dirinya seperti itu. "Saya masih ada kudrat yang diberikan oleh Allah untuk bekerja dan mencari sesuap nasi tanpa perlu meminta sedekah daripada orang ramai."Pihak yang menabur fitnah sedemikian sangat kejam tanpa membuat sebarang usul periksa terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.To’ki yang popular dengan lagu Biasan dan Seni Berzaman itu diminta mengulas komen seorang individu menerusi satu lambang sembang yang mendakwa melihat dia merayau-rayau di Pasar Borong, Selayang sambil meminta sedekah.Dalam pada itu kata To'ki berkata, dia tidak menafikan sering berkunjung ke pasar borong tersebut untuk bertemu rakan-rakannya dan bersarapan pagi di kedai berhampiran.Tambahnya, rumah dia juga berdekatan dengan lokasi pasar tersebut yang menyebabkan dia kerap ke sana."Salah ke saya nak ke pasar borong hanya kerana saya ni artis? Tetapi apabila orang dah mengata saya ni peminta sedekah, apa yang boleh saya buat?."Biarlah orang nak kata apa pun kerana masa saya susah tiada siapa pun yang datang memberikan bantuan. Saya tak kisah semua tu," katanya. Dalam pada itu, To'ki turut menafikan tuduhan kononnya dia turut menjadi penagih dadah di kawasan sambil meminta orang ramai yang melihat kelibatnya selepas ini agar menangkapnya untuk dibawa ke balai polis.To'ki berkata, dengan cara itu dia boleh membuktikan kepada orang ramai dirinya tidak seperti yang diperkatakan."Kalau saya nafikan bukan orang nak percaya. Jadi, tangkap saja saya jika ternampak kelibat saya dan serahkan kepada polis untuk buat ujian air kencing," katanya.Bagaimanapun kata To'ki, dia telah memaafkan sesiapa sahaja yang telah membuat fitnah tersebut dan berharap mereka menyesal dengan tuduhan itu.Dalam perkembangan lain, To'ki masih aktif menyanyi untuk persembahan tertutup jika ada jemputan selain mencipta lagu runut bunyi drama tempatan.To’ki sebelum ini pernah mengejutkan peminatnya apabila terdapat laporan akhbar yang menuduhnya menjadi ketua kongsi sehingga menyebabkan dia bertindak untuk menyaman akhbar itu.