Adibah melepaskan rindu bergelar guru dalam Oh My English! PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Adibah Noor mengakui dapat melepaskan rindu terhadap kerjayanya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris apabila memegang watak Cikgu Hajar dalam program Oh My English!.Adibah berkata, peluang berlakon dalam siri berbentuk pendidikan itu telah mengubat rindunya untuk mempraktikkan kembali kemahiran mengajar yang telah ditinggalkan hampir 17 tahun lalu. "Saya rindu saat-saat dapat memberikan motivasi kepada para pelajar saya dan apabila ditawarkan berlakon dalam siri ini saya terus terima kerana tertarik dengan konsepnya."Selain menekankan penggunaan Bahasa Inggeris dengan betul banyak juga elemen lain yang turut diterapkan dalam Oh My English! supaya ia menggambarkan situasi sebenar di sekolah," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.Dalam pada itu, Adibah berkata, walaupun kini dia kelihatan lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang lakonan dan pengacaraan tetapi hakikatnya dia masih mengutamakan karier nyanyian.Adibah berkata, pelawaan untuknya mengadakan persembahan lebih banyak daripada lakonan atau pengacaraan cuma ia kurang mendapat publisiti dalam media."Saya banyak terlibat dalam acara tertutup dan majlis-majlis yang tidak melibatkan media sebab itu ia kurang mendapat liputan dan sekaligus nampak karier nyanyian saya seperti senyap."Berbanding dengan lakonan dan pengacaraan ia disiarkan di televisyen dan boleh ditonton oleh masyarakat," katanya.Sementara itu, Adibah memberitahu dia baru sahaja muncul dengan single terbaru berjudul Ke Sana Denganmu iaitu kolaborasi dirinya dengan Sam dari kumpulan Inuendo.Adibah berkata, lagu ciptaan komposer Azlan Abu Hassan itu dengan lirik yang ditulis sendiri olehnya disifatkan sebagai cukup istimewa kerana mendapat idea ketika menghadiri perkahwinan rakannya iaitu Harith Iskandar."Saya ingin menulis lagu tentang perkahwinan dan perasaan mereka yang melangkah ke fasa baru itu dan mendapat ilham ketika menghadiri perkahwianan Harith."Lagu ini juga ditujukan khas kepadanya dan isteri," katanya.Tambah Adibah, buat sementara ini dia tidak akan mengeluarkan album penuh sebaliknya menumpukan kepada single dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak single terbaru untuk para peminatnya.