suria

Mustapha Maarof Mahu Zed Zaidi Buktikan Mampu Terajui Seniman

Datuk Mustapha Maarof mahu pimpinan baru Seniman dibawah presidennya iaitu Zed Zaidi membuktikan kepada masyarakat dan ahli mereka mampu membela nasib semua ahli Seniman.
Datuk Mustapha Maarof mahu pimpinan baru Seniman dibawah presidennya iaitu Zed Zaidi membuktikan kepada masyarakat dan ahli mereka mampu membela nasib semua ahli Seniman.
Datuk Mustapha Maarof mahu pimpinan baru Seniman dibawah presidennya iaitu Zed Zaidi membuktikan kepada masyarakat dan ahli mereka mampu membela nasib semua ahli Seniman.

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof mahu melihat sejauh mana pucuk pimpinan baru persatuan itu dapat mengubah landskap sedia ada persatuan itu dengan pelan tindakan yang telah dirancang.

Mustapha berkata, keputusannya untuk menarik diri pada saat akhir daripada merebut kembali jawatan itu adalah kerana ini memberi peluang kepada pimpinan golongan belia yang dapat mengubah dan membela golongan artis di negara ini.

"Saya rasa sedih apabila semasa mesyuarat berlangsung keadaan menjadi kecoh dengan kejadian saling tuduh menuduh antara ahli dan budaya ini belum pernah terjadi di dalam Seniman.

"Jadi saya fikir adalah lebih baik berundur sahaja daripada membiarkan kekecohan itu berlaku yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

"Kita berikan peluang kepada Zed dan ahli jawatankuasanya yang masih muda untuk membuktikan kepada semua kredibiliti mereka dalam membangunkan dan membela nasib ahli Seniman," ujarnya kepada mStar Online.

Mustapha ditemui semasa menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-14 di Kompleks Finas, Hulu Klang, pada Sabtu.

Sebelum itu, Mustapha mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan menarik diri dari bertanding merebut jawatan tersebut untuk penggal 2012/2013.

Jawatan itu kini disandang oleh Zed Zaidi dengan majoriti undian sebanyak 152 undi mengalahkan dua lagi calon iaitu Datuk Ahmad Tarmimi Saregar dan Zulkifli Ismail yang masuk bertanding selepas pengunduran Mustafa.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, dia berharap ahli jawatankuasa baru itu nanti dapat bersatu dan tidak mempolitikkan persatuan itu yang jelas dengan objektifnya untuk membantu ahli Seniman dan mempertingkatkan lagi industri seni tanah air.

Mustapha berkata, sepanjang tiga penggal memegang jawatan itu dia telah melakukan tugasnya sebagai seorang presiden dan berharap muka-muka baru ini akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

"Harap mereka akan terus bergerak dengan pelbagai pelan tindakan yang telah diatur dan bukannya hanya tahu bercakap sahaja.

"Ini adalah masa kepada mereka untuk membuktikan kepada masyarakat dan ahli bahawa pemilihan mereka adalah tepat," ujarnya.

Sementara itu, Mustapha berkata, sebagai orang lama dia bersedia untuk memberikan nasihat dan pandangan kepada Zed sekiranya diminta berbuat demikian pada masa hadapan.

Mustapha berkata, walaupun dia bukan lagi seorang presiden tetapi dirinya sudah sebati dengan persatuan itu dan gembira jika dapat menyumbang sesuatu selagi hayatnya masih ada.

Artikel Lain