Zainb SaidinPETALING JAYA: Pelakon Zain Saidin mengaku dia seorang lelaki yang agak nakal tidak seperti watak baik yang kerap dilakonkannya.Zain, 28, berkata, kenyataan itu perlu dijelaskan agar para peminat tidak menyalah tafsir antara karakter sebenar dan watak yang dilakonkan dalam drama kerana tidak mahu dianggap hipokrit. "Jujur saya katakan bahawa diri ini seorang yang nakal, suka menyakat orang dan gemar bergembira, tidak seperti yang digambarkan dalam drama yang saya lakonkan."Tapi nakal saya tidaklah sampai boleh menjejaskan karier sendiri atau boleh memalukan keluarga. Apa yang ingin ditekankan ialah saya tak nak sekiranya ada pihak mengatakan saya seorang hipokrit, kerana tidak berperwatakan baik seperti yang dilihat di televisyen," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.Tambah Zain, bagaimanapun dia mengakui pemilihan watak baik mampu memberi perspektif positif daripada kalangan peminat meskipun pada realitinya, karakter seseorang pelakon itu tidak seperti yang dilihat dalam drama yang dilakonkan."Sebagai seorang pelakon, saya sedar tentang perspektif sedemikian. Apabila tercetusnya kontroversi dalam realiti kehidupan sebenar, maka kritikan akan beraku," ujarnya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Naziha yang akan disiarkan di TV3, slot Zehra, dalam masa terdekat ini.Walau bagaimanapun, ujar anak kacukan Melayu Inggeris ini, dia teringin untuk menggalas watak ulama atau ustaz. Bukan untuk mendapatkan tarikan peminat bagi melihat sisi baiknya, tetapi menganggap ia antara watak yang paling sukar untuk dibawakan.Sementara itu, pelakon ini memberitahu, dia teringin untuk berlakon filem selepas beberapa tahun mengasah bakat dalam lakonan drama.Malah, katanya, sudah tiba masanya untuk dia melangkah ke dunia perfileman pula selepas berasa yakin dengan kemampuannya membawa sesebuah watak itu."Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan hasil kerja lakonan yang dibawakan dan dapat melihat peningkatannya."Dan kini saya benar-benar yakin untuk menerima tawaran filem pula. Kalau boleh saya mahu watak yang melibatkan filem aksi. teringin juga untuk berlakon di bawah arahan pengarah Syamsul Yusof kerana dia sering menghasilkan filem yang realistik," ujarnya.