suria

Persembahan Berbisa D.J Dave Pada Usia 65 Tahun

Aksi D.J Dave pada malam pra tonton konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave di Istana Budaya di sini, malam Khamis. Ia akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun ini. - Foto oleh AZHAR MAHFOF
Aksi D.J Dave pada malam pra tonton konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave di Istana Budaya di sini, malam Khamis. Ia akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun ini. - Foto oleh AZHAR MAHFOF
Aksi D.J Dave pada malam pra tonton konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave di Istana Budaya di sini, malam Khamis. Ia akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun ini. - Foto oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Bagi seorang penyanyi yang sudah berusia 65 tahun, penangan vokal Datuk D.J Dave pada konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave di Istana Budaya memang bukan kepalang.

Menerusi aksi lebih dua jam pada konsert mega terakhirnya itu, kredibiliti Dave selaku penghibur berpengalaman jelas terbukti dengan kawalan dan lontaran vokal yang konsisten.

Bagi kalangan peminat penyanyi ini, persembahan 'pemanas badan' yang ditampilkan pada malam pra tonton konsert itu tentu saja menjanjikan kepuasan tersendiri.

Bukan sekadar pujian kosong tetapi kelincahan Dave di pentas membuatkan kita terasa seolah-olah menyaksikan persembahan artis muda.

Bahkan secara jujurnya tidak keterlaluan untuk saya sifatkan tenaga persembahan penyanyi itu seperti 25 tahun lebih muda daripada usia sebenarnya.

Walaupun ada beberapa gangguan dan kecelaan teknikal yang sedikit menjejaskan kesempurnaan konsert itu, Dave nampak bersungguh-sungguh untuk mengimbanginya dengan mutu vokal dan celoteh yang menghiburkan.

Dalam mendendangkan lebih 30 buah lagu, tidak sekali pun Dave menunjukkan dia kurang stamina atau 'pancit' mengalunkan lagu-lagu yang diiringi orkestra pimpinan Eddie Marzuki itu.

Bagi peminat penyanyi ini, alunan Dave menerusi lagu-lagu hitnya seperti Ingin Bersua, Nora, Jelingan Manja, Biar Masa Merubah Segalanya, Kawan Setia dan Negaraku Tercinta tentu meninggalkan memori indah.

Dave turut mewarnai persembahan dengan berduet bersama Uji Rashid, Dayang Nurfaizah dan Marsha Milan Londoh yang mewakili penyanyi bagi era 70an, 90an dan 2000.

Malah, dalam satu segmen khas kemunculan komposer legenda era 80an iaitu S. Atan yang pernah menghasilkan pelbagai lagu untuknya turut mencuri tumpuan pada malam itu.

Paling menarik apabila Dave menyampaikan lagu Hari Raya klasiknya Menjelang Hari Raya ciptaan komposer itu.

Bukan D.J Dave namanya jika tiada gimik persembahan.

Identiti tersebut dijelmakan kembali pada konsert itu apabila dia memakai semula pelbagai pakaian yang pernah digunakan sepanjang pembabitan 40 tahun dalam bidang nyanyian.

Kemunculan kereta Alfa Romeo miliknya yang dibeli pada 1973 sebagai gimik pembukaan konsert layak dipuji.

Seperkara yang boleh dijadikan contoh oleh penyanyi-penyanyi muda adalah kesungguhan Dave dalam menyelia setiap perincian persembahannya.

Tiket-tiket konsert yang berharga RM53, RM83, RM183, RM253, RM303 dan RM453 boleh didapati dengan melayari lawan web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41478600 atau 018-3268001.

Sebagai kejutan, kesemua tiket yang berharga daripada RM83 hingga RM453 akan diberikan diskaun sebanyak 20 peratus.

Konsert itu mendapat sokongan penaja seperti Celcom, Sogo, Hotel Concorde, AirAsia dan Hard Rock Cafe.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain