suria

Isteri Jumpa Jimmy Tapi Ditolak Untuk Selesai Kes Cara Baik

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pengacara, Jimmy Shanley iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy telah bertemu dengan suaminya secara peribadi untuk berbincang bagi menyelesaikan kes penceraian mereka supaya dapat diselesaikan di luar mahkamah secara baik.

Suhaila, 25, berkata, dalam pertemuan yang diadakan baru-baru ini, dia telah mencadangkan kepada Jimmy agar dapat berpisah dengan baik selain hubungan mereka kekal menjadi seperti sahabat.

"Saya tidak mahu lagi kes kami berdua berpanjangan dan saya telah berjumpa dengan Jimmy untuk menyelesaikan masalah kami berdua secara berhemah.

"Saya juga menjelaskan, mungkin saya dan dia sudah tiada jodoh dan berharap kami dapat berkawan baik demi kepentingan anak yang bakal berusia setahun pada 24 Jun ini," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Amal Seni Premier V3 di sini pada Rabu.

Bagaimanapun kata Suhaila, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana Jimmy masih tetap dengan keputusannya untuk menyelesaikan kes itu di mahkamah.

Dalam pada itu, Suhaila mempersoalkan tindakan Jimmy yang ingin menuntut hak penjagaan anak mereka iaitu Zahrah Shanley sedangkan dia tidak pernah menghalang suaminya itu daripada menjenguk kanak-kanak itu.

Suhaila mendakwa, Jimmy jarang berkunjung ke rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini untuk bertanya khabar mengenai anak tetapi ibunya iaitu Datin Muniroh Kassim yang sering membawa Zahrah bertemu dengan Jimmy.

"Pintu rumah saya sentiasa terbuka luas untuk Jimmy. Dia boleh datang menjenguk anak tetapi hanya sekali, dua sahaja dia berbuat demikian. Namun tidak dinafikan saya memang tidak membenarkan anak bermalam dengan Jimmy kerana dia masih menyusu badan," ujarnya.

Sementara itu, Suhaila berkata, dia tidak dapat menghalang Jimmy daripada mengeluarkan pelbagai kenyataan sama ada di dalam mahkamah atau kepada media mengenai rumah tangga mereka.

Suhaila memberitahu, dia tidak akan membalas sebarang kenyataan Jimmy kerana enggan mengaibkan suaminya itu dan akan terus berdiam diri.

"Seperti yang saya katakan saya tidak mahu perkara ini berpanjangan dan dia boleh kata apa sahaja mengenai diri saya," katanya.

Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan Nursuhaila telah mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010 di kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh.

Kedua-dua mereka mula tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010, iaitu 20 hari selepas bernikah.

Kes melibatkan kedua-dua pasangan ini sedang berlangsung di Mahkamah Syariah dengan permohonan permohonan nusyuz terhadap Suhaila selain hak penjagaan anak (hadanah).

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan