Kumpulan JinbaraKUALA LUMPUR: Kumpulan Jinbara yang popular menerusi lagu Zakiah yakin dengan langkah merakamkan kembali lagu lama yang diperbaharui semula kerana trend itu dilihat mampu memenuhi selera peminat.Vokalis kumpulan itu, Tiar menjelaskan, dengan cara sedemikian mereka dapat menunjukkan rasa penghargaan kepada komposer dan penyanyi asal selain mempopularkan kembali lagu lama dalam versi rock klasik. "Seperti lagu Zakiah ia berjaya dijual secara digital sebanyak 1.5 juta dan itu adalah bukti kuat bahawa peminat dan pendengar boleh menerima lagu lama yang diberi nafas baru."Malah bukan Jinbara sahaja, artis lain yang buat perkara sama turut diterima baik. Jadi kami tidak lihat ia sebagai masalah," ujarnya pada majlis pelancaran album terbaru mereka berjudul Kolaborasi Mental di sini pada Khamis.Tambah Tiar, setakat ini mereka belum lagi menerima kritikan negatif atau tuduhan seperti merosakkan lagu asal yang dirakamkan mereka.Dalam pada itu, Tiar memberitahu, album terbaru yang memuatkan lima buah lagu itu turut memperlihatkan kolaborasi mereka bersama-sama artis baru seperti Awi Rafael, Fiq, Cdin Taxi dan penyanyi terkenal iaitu Ramli Sarip.Tiar memberitahu, proses pemilihan lagu lama yang ingin dirakamkan semula tidak sukar dibuat kerana mereka telah berbincang bersama syarikat rakaman Warner Music."Percaya atau tidak kami menyiapkan album ini hanya dalam masa 10 hari sahaja dan cukup mudah bekerja dengan semua artis yang terlibat," ujarnya.Sementara itu, Tiar memberitahu, Jinbara memilih lagu popular Allahyarham Sudirman iaitu Milik Siapakah Gadis Ini sebagai single pertama mereka.Katanya, lagu yang diubah menjadi versi rock klasik itu dirakamkan bersama Fiq yang disifatkan mempunyai keupayaan vokal cukup mantap."Kami memilih lagu tersebut juga adalah sebagai salah satu cara untuk memperingati pemergian Allahyarham 20 tahun lalu dan diharap ia akan digemari pendengar," katanya.Selain lagu tersebut Jinbara turut merakamkan kembali lagi Mata Hitamku duet bersama Ramli Sarip, Oh!Mama Saya Mahu Kahwin, Chinta dan Hilang.Album berkenaan telah pun berada di pasaran sejak Khamis.Dalam perkembangan lain, Jinbara akan mengadakan satu persembahan khas untuk peminat mereka pada 6 Julai depan bertempat di Sixty3 Club, Hotel Sheraton Imperial di sini.Menerusi persembahan itu, peminat akan dihiburkan dengan lagu-lagu popular mereka selain beberapa artis jemputan lain.Peminat boleh mendapatkan tiket persembahan itu dengan harga RM25 di pintu masuk Sixty3 Club pada hari persembahan.