suria

Joe (Wings) Ragui Kemampuan Pemuzik Muda

Joe (Wings)
Joe (Wings)
Joe (Wings)

PETALING JAYA: Gitaris kumpulan rock legenda Wings iaitu Joe berkata sikap pemuzik muda yang menumpukan pada aspek gubahan muzik berbanding susunan dan kemahiran secara individu tidak menunjukkan potensi mereka mampu menyambung legasi pemuzik generasi lama.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 42, berkata, trend tersebut menyebabkan kemahiran bermain alat muzik di kalangan pemuzik muda tidak menyerlah dan diragui untuk mereka kekal bertahan di dalam industri muzik bagi tempoh yang lama.

“Trend dan sikap pemuzik muda ini menimbulkan keresahan kepada saya secara peribadi. Majoriti muzik khususnya rock yang dihasilkan pemuzik muda lebih menekankan aspek gubahan berbanding kemahiran solo bermain muzik dan susunan.

“Jika keadaan ini berterusan, bagaimana kita hendak melihat barisan pelapis yang benar-benar menonjol untuk menyambung legasi kami pada masa akan datang?” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Joe berkata, kesan daripada trend itu membuatkan pemuzik-pemuzik lama terus mendapat permintaan pada acara-acara dan majlis kerana ketiadaan barisan pelapis yang berpotensi dan meyakinkan pihak penganjur.

“Kalau kita lihat pada acara-acara hiburan atau majlis korporat, pemuzik lama terus mendapat kepercayaan dan permintaan daripada penganjur kerana mereka percaya dan tahu kerja kami.

“Mungkin ia bagus untuk pemuzik lama secara individu tetapi perkembangan ini tidak baik untuk industri bagi jangka masa panjang kerana orang luar masih tidak nampak pada kemampuan pemuzik pelapis,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Joe berkata dia bakal beraksi pada Konsert G4: Petikan Legasi di samping tiga lagi gitaris legenda iaitu Man Keedal, Hillary Ang dan Kid (Search) pada 30 September depan, pukul 8 malam di KL Live dekat sini.

“Konsert ini adalah peluang kami empat gitaris ini untuk berkongsi pentas buat julung kalinya. Jika selama ini peminat muzik tanah air hanya melihat kami menerusi kumpulan masing-masing tetapi pada konsert ini kami akan tampilkan aksi berbeza.

“Yang pasti, kami tidak akan bawakan lagu-lagu popular kumpulan kami, sebaliknya akan mempersembahkan lagu-lagu baru dan antarabangsa,” katanya.

Tiket-tiket berharga RM100 dan RM120 boleh didapati dengan menghubungi talian 019-9412345 (Dino) atau 019-6249443 (Faiz).

Layari laman Facebook dan Twitter “Konsert G4” untuk keterangan lanjut. Konsert berkenaan dianjurkan RK Polaris.

Artikel Sebelum

Artikel Lain