Datuk Ahmad Nawab. GEORGE TOWN: Seorang suri rumah yang juga peminat setia Seniman Negara, Datuk Ahmad Nawab menitiskan air mata gembira apabila komposer terkenal itu membuat kunjungan di rumahnya di Kampung Kota Giam, Jelutong pada Ahad bagi menyampaikan sumbangan Ramadan.Majimin Mohamed Yusof, 52, tidak menyangka Ahmad Nawab sudi ke rumahnya yang terletak di kawasan paya untuk menyampaikan sumbangan. "Ini kali pertama saya bertemu sendiri dengannya," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Kelab Peminat Seniman Negara Ahmad Nawab.Majimin yang hidup serba daif dan menjaga suami yang lumpuh sejak empat tahun lepas, adalah antara lima keluarga yang menerima sumbangan Ramadan berupa barangan dapur dan wang tunai dari Kelab Peminat Seniman Negara Ahmad Nawab Pulau Pinang.Sementara itu Ahmad Nawab berkata program itu adalah program tahunan sejak kelab itu ditubuhkan dua tahun lepas.Kelab ekslusif itu kini mempunyai keanggotaan sebanyak 93 orang."Untuk permulaan puasa ini kami memilih lima keluarga dahulu dan untuk pertengahan bulan Ramadan nanti kami telah menyenaraikan 20 orang lagi untuk menerima sumbangan Aidilfitri," katanya. - BERNAMA