suria

Bkay Nair Buka Bisnes Bukan Kerana Lakonan Tak Menjadi

Bkay Nair mahu memberikan keutamaan pada perniagaan berbanding lakonan. - Foto oleh LOW LAY PHON
Bkay Nair mahu memberikan keutamaan pada perniagaan berbanding lakonan. - Foto oleh LOW LAY PHON
Bkay Nair mahu memberikan keutamaan pada perniagaan berbanding lakonan. - Foto oleh LOW LAY PHON

KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas ratu cantik Bkay Nair menubuhkan syarikat perunding imej Bkay Nair Resources bukan kerana mahu beralih bidang ekoran kerjaya lakonan yang kurang menjadi.

Pemilik nama sebenar Tryambikay Vengades, 30, ini berkata, penubuhan syarikat yang sudah beroperasi selama empat tahun itu adalah dipengaruhi minat dan kecenderungan pada cabang perniagaan.

“Perniagaan, bidang seni atau apa juga perkara saya ceburi adalah berdasarkan perancangan hidup yang saya sudah tetapkan. Sebenarnya, sejak remaja lagi saya minat pada perniagaan dan kecantikan cuma ketika itu saya kekurangan dana dan pengalaman.

“Bidang lakonan hanya batu loncatan dan saya menyertainya secara kebetulan, bukan kerana saya menyasarkan untuk menjadi pelakon. Minat pada lakonan masih ada cuma keutamaan pada waktu ini adalah perniagaan,” katanya ketika ditemui mStar Online.

Sebelum ini, Bkay pernah membintangi tiga filem iaitu Ratu The Movie, Raya Tak Jadi dan Bujang Telajak.

Bekas peguam ini berkata, dakwaan yang mengatakan dia beralih kepada perniagaan kerana tidak menyerlah dalam dunia lakonan adalah tidak berasas kerana dia masih menerima pelbagai tawaran lakonan sehingga hari ini.

“Saya masih menerima tawaran lakonan sebenarnya. Cuma, saya banyak tolak kerana komitmen lakonan tinggi dan besar. Bukan bermaksud saya sudah berhenti sepenuhnya cuma memperlahankan rentak sahaja.

“Kalau pun saya bergiat dalam bidang hiburan, saya lebih cenderung pada pengacaraan atau penyampai radio seperti saya lakukan selama tiga bulan di Gaol FM sebelum ini kerana komitmen dan pengurusan waktunya lebih mudah,” katanya.

Mengenai Bkay Nair Resources, anak tunggal dalam keluarga ini berkata, dia sudah lama berhajat untuk mengembangkan minat dan pengetahuannya dalam aspek kecantikan kepada cabang perniagaan.

“Sejak usia 19 tahun lagi saya sudah cenderung pada ilmu penjagaan kecantikan dan penampilan diri. Berkat ilmu dan kemahiran daripada kursus yang saya ceburi serta pengalaman dalam bidang seni dan peragaan, saya nekad untuk fokus pada perniagaan tahun ini.

“Kalau diikutkan syarikat sudah beroperasi sejak empat tahun lalu, cuma pada penghujung tahun lepas baru saya benar-benar yakin untuk bergiat sepenuh masa,” katanya.

Untuk maklumat pakej dan harga kursus rundingan imej, boleh layari http://bkaynair.blogspot.com.

Artikel Lain