suria

Golongan Muda Kurang Patriotik - Awie

Awie
Awie
Awie

KUALA LUMPUR: Penyanyi Awie (Wings) menyifatkan golongan muda kini semakin kurang peka dengan sejarah negara apatah lagi untuk berjiwa patriotik.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, hal itu dapat dilihat apabila kebanyakan golongan itu terlalu banyak dipengaruhi dengan budaya Barat selain menentang pihak kerajaan secara melulu tanpa sebab.

"Saya suka apabila melihat budak-budak remaja sekarang ini lebih bijak dan berani menyatakan pendapat mereka tetapi sayangnya jiwa mereka semakin kurang dengan nilai-nilai patriotik.

"Apa yang saya lihat, ada yang mengambil sikap tidak peduli dan ada juga golongan muda yang bersuara lantang menentang kerajaan.

"Sedangkan macam-macam perkara yang mereka terima daripada pihak kerajaan. Nak buat macam mana, manusia tidak pernah bersyukur atau berpuas hati dengan apa yang ada," katanya.

Tambah Awie, pengetahuan sejarah negara mestilah diketahui oleh setiap rakyat tempatan terutamanya bagi golongan muda agar mereka faham betapa susahnya pejuang terdahulu mendapatkan kemerdekaan di tanah air sendiri.

"Sebenarnya, sifat-difat patriotik perlu dididik bermula dari rumah dan ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar untuk itu.

"Begitu juga dengan saya yang perlu mendidik anak-anak tentang sejarah negara. Dari situ, akan timbul rasa keinsafan dalam diri mereka bagaimana susahnya rakyat tempatan satu ketika dahulu," ujarnya.

Perkara tersebut juga telah membuatkan Awie ingin menyuntik sifat semangat cintakan negara kepada golongan muda dengan merancang untuk menghasilkan sebuah konsert khas berkonsepkan patriotik.

"Saya sedang merancang untuk membuat sebuah konsert khas berkonsepkan patriotik bersama-sama dengan Wings serta beberapa artis lain. Semoga perancangan itu menjadi," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, kumpulan Wings yang kini bernaung di bawah label KRU Music Group bakal muncul dengan album terbaru berjudul Menakluk Kosmos selepas 10 tahun tanpa album.

Artikel Sebelum

Artikel Lain