suria

Minat Aliff Aziz Pada Lakonan Kerana Anne Ngasri

Aliff Aziz
Aliff Aziz
Aliff Aziz

KUALA LUMPUR: Penyanyi dari Singapura Aliff Aziz mengakui hubungan cinta dengan pelakon Ngasriah Ngasri (Anne) banyak mempengaruhi minatnya untuk mendalami bidang lakonan.

Pemilik nama sebenar Mohammad Aliff Aziz, 21, ini berkata, hubungan yang bermula sejak tujuh bulan lalu itu membuka matanya untuk mencabar kemampuan diri dalam seni lakon.

“Saya akui Anne banyak membuka mata dan minda saya untuk lebih mendalami bidang lakonan. Dia memberikan perangsang dan bimbingan untuk saya mempelajari selok-belok lakonan.

“Namun, keputusan untuk berkembang kepada bidang ini datang daripada minat saya sendiri yang sukakan cabaran untuk menjadi diri orang lain menerusi pelbagai watak yang diberikan,” katanya.

Aliff berkata demikian ketika ditemui mStar Online pada majlis amal bulan Ramadan anjuran Red Box, Jamu Mak Dara, Figos dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama ibu tunggal Yayasan Nur Karangkraf Malaysia di Red Box Plus Pavilion di sini, malam Selasa lalu.

Pada majlis itu, seramai 25 ibu tunggal bersama anak-anak mereka diraikan dan turut menerima sumbangan Aidilfitri daripada tiga syarikat terbabit.

Mengenai kecenderungannya yang kian aktif membintangi pelbagai telefilem dan drama bersiri, Aliff berkata, perkara tersebut dilakukan kerana dia mahu mengembangkan potensi selain bidang nyanyian.

“Bidang seni ini luas. Tidak salah rasanya saya mencuba bidang lakonan untuk menguji potensi diri. Kita akan mengetahui sejauh mana kemampuan diri dalam seni selepas mencuba melakukan beberapa percubaan.

“Nyanyian dan lakonan memberikan pengalaman dan kepuasan berbeza. Sejak aktif berlakon, saya mendapat kepuasan yang luar biasa berbanding menyanyi sebelum ini,” jelasnya.

Katanya, demi cabang seni yang baru diceburi sejak awal tahun itu, dia tidak kisah apabila warna kulitnya menjadi semakin gelap kerana sering berjemur di bawah matahari ketika penggambaran.

“Sudahlah saya ini memang berkulit gelap, apabila sering berlakon di luar makin gelaplah kulit saya jadinya. Tapi ia bukan satu masalah demi bidang lakonan yang semakin saya minati.

“Mungkin kalau hendak cerahkan semula kulit seperti asal, saya perlu berkurung di dalam rumah selama dua bulan,” ujarnya secara bergurau.

Ditanya mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, penyanyi yang kini popular dengan lagu Jangan Ganggu Pacarku berkata, hari-harinya dihabiskan di lokasi penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Tiara arahan Shamby Danish.

Artikel Lain