suria

Cico Bawa Diri Ke Pulau Perhentian Sejak Lima Tahun Lalu

Cico - Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH
Cico - Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH
Cico - Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH

KUALA LUMPUR: Kehilangan pelakon Cico Harahap selama beberapa tahun terjawab apabila dia sebenarnya tidak lagi menetap di Kuala Lumpur sebaliknya tinggal di Pulau Perhentian, Terengganu kerana bekerja sebagai jurulatih penyelam skuba.

Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 33, berkata, dia telah menetap di pulau itu sejak lima tahun lalu kerana mahu memenuhi aktiviti berkenaan yang turut menjadi sumber pendapatannya.

"Sekarang ini saya memang sibuk bekerja sebagai jurulatih penyelam skuba. Semakin lama tinggal di pulau, terasa lebih serasi pula.

"Malah sebelum ini saya menetap untuk beberapa tahun di Pulau Tioman, Johor. Saya bukan sekadar melatih penyelam-penyelam skuba tetapi turut menjalankan beberapa perniagaan lain seperti menjual kain, cenderahati dan makanan," katanya.

Tambah anak kepada artis veteran Uji Rashid itu, fikirannya lebih tenang dan seronok dengan menjalani aktiviti yang digemarinya sejak dahulu lagi, malah sedang merancang untuk membuka beberapa perniagaan di pulau berkenaan.

Ditanya adakah penghijrahannya ke pulau itu disebabkan merajuk dengan dunia seni, Cico menafikannya kerana sejak kecil lagi, dia sudah lali dan terdedah dengan dunia berkenaan serta isu kontroversi artis.

Malah Cico turut menafikan dia sudah bersara daripada dunia lakonan, sebaliknya dia hanya akan berlakon sekiranya tawaran diberi dengan skrip yang sesuai.

"Saya tak mungkin bersara daripada berlakon kerana ia sudah pun menjadi darah daging saya. Cuma kali ini saya lebih memilih sedikit. Tambah pula kesibukan di Pulau Perhentian menyebabkan kemunculan saya dalam industri seni semakin terhad," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan keluarga pula, Cico enggan mengulas tentang hal berkenaan sebaliknya memberitahu anak dan isterinya kini tinggal berjauhan dengannya.

Artikel Berikut

Artikel Lain