suria

Aqasha Punyai Bakat Menganyam Ketupat

Aqasha
Aqasha
Aqasha

PETALING JAYA: Pelakon Aqasha mengakui dia merupakan antara individu yang berkebolehan menganyam ketupat sehingga ia menjadi satu tugasan wajib setiap kali menjelangnya sambutan Aidilfitri.

Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, 30, berkata, bakat menganyam itu mula diwarisi daripada arwah neneknya ketika dia masih belasan tahun lagi.

"Ramai yang tak tahu bahawa saya boleh menganyam pelbagai jenis ketupat seperti ketupat palas, bawang, sawi atau sate.

"Menjadi kewajipan saya untuk membeli daun kelapa dan menganyam seorang diri sehingga ke pagi. Saya mempunyai tiga adik lelaki juga berbakat dalam anyaman ketupat. Jika mereka ada, maka tak adalah berat sangat tugas saya, kami sama-sama tolong emak," katanya.

Tambah pelakon drama Dejavu Di Kinabalu ini, walaupun menganyam hanya sinonim dengan golongan wanita, dia tidak malu untuk berkongsi kisah bakatnya kepada teman-teman, malah dia dikagumi kerana mampu melakukan kerja itu dengan teliti.

Dalam pada itu, Aidilfitri pada kali ini turut membuatkan pelakon ini teruja kerana pertama kali dia dan isteri, Noor Baizura Mohd Sabri, menyambut Hari Raya bersama anak sulung mereka iaitu Alehandra Ahmad yang baru berusia 10 bulan.

"Kalau tahun lalu anak saya menyambut raya dalam perut isteri, tahun ini ia lebih bermakna dengan kehadirannya serta saya membawa status diri sebagai ayah.

"Malah saya pula yang bersemangat mencari baju raya untuk anak. Diakui bajet tahun ini sedikit besar dan semua ini kerana Alehandra, tetapi tak adalah sampai jadi membazir," selorohnya yang beraya di rumah ibu bapanya di Shah Alam dan kemudian ke kampung isterinya di Kelantan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan