suria

Muka 'Jambu' Fadlan Untuk Lariskan VIP

Fadlan Hazim
Fadlan Hazim
Fadlan Hazim

PETALING JAYA: Anggota kumpulan VIP, Fadlan Hazim, 20, mengaku dirinya dijadikan sebagai tempelan bagi “melariskan” kumpulan tersebut disebabkan raut wajahnya yang dikatakan comel dan “jambu”.

Kata Fadlan, walaupun pihak KRU menjadikan wajahnya sebagai sandaran untuk menambahkan lagi sokongan peminat terhadap kumpulan berkenaan, ia bukanlah ruang untuk dia bermegah-megah dengan kelebihan tersebut.

“Saya mengaku salah satu sebab saya dimasukkan dalam VIP kononnya wajah saya ini digilai golongan remaja. Saya merasakan ia adalah satu kelebihan yang ada pada diri saya dan amat bersyukur mengenainya,” katanya kepada mStar Online di sini.

Ditanya bagaimanakah bakat nyanyiannya dalam kumpulan tersebut, Fadlan mengakui vokalnya tidaklah begitu hebat berbanding anggota VIP yang lain tetapi dia sentiasa berusaha untuk memantapkan lagi kemampuan suaranya.

Dalam perkembangan lain Fadlan sedang mengintai peluang untuk berlakon dalam drama televisyen tempatan selepas sekian lama memandam hasrat tersebut.

“Selama ini saya belum bersedia untuk menjadi pelakon kerana kurang berkeyakinan. Bagaimanapun selepas saya bersama VIP, keyakinan diri semakin bertambah dan saya berharap dapat memperluaskan cita-cita seni saya untuk bidang yang lain,” ujarnya.

Mengenai khabar angin yang mengatakan dia terlalu bersandarkan kepada wajah jambunya sahaja Fadlan berkata, tiada guna bagi seseorang artis yang terlalu mengharapkan rupa paras tetapi tidak mempunyai bakat dan kesungguhan.

Katanya, muka jambu seseorang hanya satu kelebihan tetapi apa yang lebih penting ialah bakat yang hendak dijual kepada orang ramai.

“Saya tidak menganggap muka saya ini mampu membawa kejayaan sepenuhnya kepada saya kerana ia hanya satu kelebihan. Selebihnya adalah bakat yang perlu dibina dengan memperbanyakkan lagi ilmu dalam bidang yang dipilih,” jelasnya.

Artikel Lain