WanaPETALING JAYA: Penyanyi Wana mengambil pendekatan berbeza dalam menyambut Aidilfitri dengan menonton wayang bersama-sama keluarganya di Johor Bahru (JB), Johor.Wana atau nama sebenarnya Noriezuana Syed Shafudin berkata, walaupun ramai yang berasa janggal dengan cara keluarganya menyambut hari pertama lebaran, namun ia adalah salah satu rutin wajib yang mesti dilakukan setiap kali tibanya Hari Raya. "Biasanya saya dan keluarga akan berkumpul beramai-ramai dan kemudian kami berjalan-jalan meluangkan masa bersama. Dan semestinya menjadi rutin wajib buat kami untuk menonton filem-filem terkini di panggung wayang."Maklumlah, di JB tidak ada suasana kampung, maka 'mood' raya agak berbeza sedikit. Bagaimanapun kami sekeluarga akan ke rumah atuk di Larkin Jaya untuk bersalam dan bermaaf-maafan," katanya.Bagaimanapun tambah Wana, kesibukan menyediakan juadah Aidilfitri adalah perkara wajib dan antara juadah yang mesti dimasak ialah serunding, kuah lodeh dan sambal kacang."Cuma satu saja yang saya tak suka, apabila atuk meminta untuk mengacau serunding, semua akan lari entah ke mana. Maklumlah nak buat serunding, ia mengambil masa yang lama kerana nak tunggu inti kelapa serunding itu menjadi kering."Jadi, sayalah yang menjadi mangsa kerana saya sahaja cucunya yang belum berkahwin," ujarnya.Dalam pada itu, wujud perasaan sedih dalam hati penyanyi ini apabila dia begitu teringin merasai pengalaman menyambut Aidilfitri bersama ayahnya yang dikhabarkan telah pulang ke Pakistan sejak usianya 12 tahun."Setiap kali Syawal, walaupun dah lama ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga, perasaan rindu tak pernah luput di hati."Syukurlah, ibu tabah menghadapi dugaan, tambahan pula diberi sokongan daripada kaum keluarga," tuturnya.