suria

Ariel (Noah) Muncul Di KL Selepas Jadi Banduan

Kumpulan Noah
Kumpulan Noah
Kumpulan Noah

PETALING JAYA: Selepas bebas dari penjara pada Julai lalu, Ariel dan kumpulannya iaitu Noah (dahulunya adalah Peterpan), akan membuat kemunculan pertamanya di negara ini menerusi konsert Tentang Bahtera yang akan diadakan pada 16 September depan.

Menurut Ariel atau nama sebenarnya Nazril Irham, 30, pengalaman meringkuk dalam penjara hampir dua tahun sebelum ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam industri muzik selain mahu menghiburkan peminat-peminat di Malaysia.

"Kumpulan Noah, lebih-lebih lagi saya sendiri semakin bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik buat para peminat yang sering menyokong saya walaupun ketika di ambang kejatuhan.

"Kejadian lalu tidak sedikit pun mematahkan semangat saya untuk terus berjuang dalam dunia muzik," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat rakaman Universal Music di sini, Selasa.

Ariel dihukum penjara tiga tahun setengah pada Januari 2011 kerana kesalahan mengedar dua video lucah yang dipercayai membabitkan dirinya dan dua artis wanita iaitu Cut Tari dan kekasihnya ketika itu, Luna Maya.

Hukuman penjara itu bagaimanapun dipendekkan apabila dia dibebaskan pada Julai lalu.

Ketika di dalam penjara Kebon Waru, Bandung itu, Ariel telah mencipta single lagu Dara, manakala empat anggota lain pula iaitu Uki, Reza, Lukman dan David telah menyiapkan muzik instrumental bagi album terbaru mereka, Suara Lainnya.

Album tersebut turut menampilkan Momo, vokalis kumpulan Geisha menerusi lagu Cobalah Mengerti.

Kini Noah muncul dengan single kedua berjudul Separuh Aku yang mendapat sambutan hangat daripada para peminat, malah jumlah tontonan klip video di laman YouTube mencapai jumlah lebih sejuta dalam masa lima hari.

Sementara itu, konsert Tentang Bahtera yang akan berlangsung dia KL Live, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, bermula pukul 4 petang itu akan turut dibarisi oleh 6ixth Sense, The Malayan dan trio dari Indonesia, Gamaliel Audrey Cantika (GAC).

Ia dianjurkan oleh Live Scape Asia bersama Universal Music.

Artikel Lain