Haiza dan suaminya Norhanaphe gembira mendapat bayi lelaki selepas lima tahun berkahwin.KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 32, selamat melahirkan bayi lelaki di Pusat Pakar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cheras di sini malam Ahad.Bayi seberat 3.07 kilogram itu lahir secara normal kira-kira pukul 8.37 malam dan diberikan nama Nur Iman Syafie. Haiza berkata, dia dimasukkan ke pusat perubatan itu kira-kira pukul 1 petang hari yang sama selepas mengalami kesakitan ketika di rumah.Katanya nama Nur Iman Syafie dipilih selepas dia dan suami Norhanaphe Omar, 32, mengetahui jantina anak mereka itu selepas beberapa bulan mengandung."Nur Iman Syafie bermakna cahaya keimanan. Saya dan suami berharap anak kami ini akan menjadi orang yang beriman," katanya kepada mStar Online sewaktu ditemui di pusat pakar itu di sini, malam Ahad.Sementara Haiza berkata, dia amat bersyukur kerana selepas lima tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya Allah mengurniakan zuriat buat mereka selepas puas berusaha."Zuriat ini amat bermakna buat saya dan suami. Syukur kepada Allah," katanya.Haiza yang popular dengan lagu terbaharu berjudul Semalam bercuti daripada sebarang pertunjukan pentas dan akan kembali aktif selepas tempoh berpantang.Haiza dan Norhanaphe mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2007.