SHAH ALAM: Empat selebriti popular iaitu Harith Iskander, Atilia, Amanda Imani dan penyampai radio Red FM, JFK menghiburkan warga kerja Star Publications bersempena dengan hari keluarga dan ulang tahun yang ke-41 syarikat itu di Star Media Hub, Bukit Jelutong dekat sini.Ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih terhadap pekerja-pekerja syarikat penerbitan itu yang bertungkus-lumus meningkatkan prestasi serta menjaga nama baik syarikat. Menurut Atilia, dia tidak sangka pekerja-pekerja Star begitu komited dan terbuka untuk menyambut ulang tahun dan hari keluarga beramai-ramai di tempat pencarian rezeki mereka."Ternyata para pekerja ini diberi kebajikan yang bagus. Dengan mengadakan majlis sebegini, ia dapat membina kreativiti seseorang itu untuk menghasilkan produk kerja yang lebih baik."Malah dapat membina ikatan silaturrahim antara satu sama lain."Setakat ini, saya anggap akhbar The Star antara yang terbaik kerana sering memaparkan berita-berita yang tidak terlalu 'keras' serta gambar-gambar ," katanya yang membawakan lagu Indah dan You To Me Are Everything.Amanda pula berkata, kehadirannya ke majlis ini sekaligus dapat memperkenalkan diri sebagai penyanyi baru memandangkan namanya hanya popular menerusi acara-acara korporat berbanding dengan penyanyi lain."Saya mengambil kesempatan ini menghiburkan pekerja-pekerja Star. Mereka sangat 'sporting' kerana menepuk tangan mengikut rentak nyanyian saya," katanya.Amanda yang tampil dengan gaun pendek membawakan lagu single terbarunya, Fobia Cinta, The Climb (Miley Cyrus) dan Video Games (Lana Del Ray).Sementara itu, majlis yang diacarakan oleh JFK dimulakan seawal 9.30 pagi dengan persembahan tarian hip hop BBoy.Pada acara itu, terdapat pelbagai aktiviti seperti menaiki helikopter, acara telematch, cabutan bertuah dan banyak lagi khas buat keluarga pekerja yang hadir.Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif dan juga Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Pengarah Bisnes Kumpulan, Calvin Kan.