Tyzo berharap orang ramai tidak takut untuk membuat laporan mengenai kegiatan rasuah penjawat awam. Foto FERIDE HIKMET ATAKPETALING JAYA: Percubaan seorang anggota polis trafik yang ingin meminta sogokan daripada Tyzo bakal menerima padah apabila penyampai radio Suria FM itu telah melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris berkata, dia terpaksa melakukan tindakan tersebut semata-mata untuk menyokong usaha pihak PDRM bagi membanteras kegiatan tersebut khususnya melibatkan anggota mereka. "Saya ditahan oleh salah seorang anggota polis trafik pada Isnin lalu dan dia meminta sogokan sehingga menyebabkan saya terpaksa melaporkan perbuatan buruk itu kepada pihak atasannya agar menjadi pengajaran kepada anggota terbabit serta polis-polis lain."Bukan setakat pihak PDRM sahaja, malah saya turut memaklumkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mereka telah memberikan respons terhadap laporan berkenaan," katanya kepada mStar Online, di sini, Selasa.Tyzo diminta mengulas luahannya menerusi segmen 'Citra Muzik Di Suria FM' (8 malam hingga 11 malam) yang dikendalikannya pada malam Isnin lalu yang antara lain turut berkongsi pengalaman apabila seorang anggota polis cuba meminta sogokan ketika menahannya.Bercerita mengenai kejadian itu Tyzo berkata, ia berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk menghadiri sebuah mesyuarat dan ditahan dalam satu sekatan jalan raya di sekitar Jalan Sunway dekat sini, kira-kura pukul 12 tengah hari pada Isnin lalu.Tyzo berkata dia ditahan kerana kesalahannya memandu kenderaan menggunakan cermin gelap dan anggota polis berkenaan memberi pilihan sama ada untuk menyelesaikan kes tersebut dengan memberi sogokan ataupun mengeluarkan saman.Katanya, selepas memohon maaf kerana kesalahan itu, anggota polis tersebut tetap menyuruhnya membuat pilihan yang ditawarkan sehinggalah Tyzo terpaksa memberitahu dia adalah petugas media dan akan melaporkan perbuatan itu kepada pihak atasan PDRM.“Mungkin kerana terkejut dengan penjelasan itu, anggota tersebut melepaskan saya dengan meninggalkan saya begitu sahaja tetapi saya sempat mencatat nama dan nombor badannya,” jelas Tyzo.Katanya, selepas memikirkan beberapa perkara, dia telah menulis mengenai peristiwa itu lalu mengirimkannya kepada pihak atasan PDRM termasuklah Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menerusi e-mel serta pihak SPRM.Ujar Tyzo lagi, dia mendapat respons yang positif apabila seorang pegawai kanan polis dari bahagian tatatertib, Bukit Aman telah menelefonnya untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu manakala pihak berkuasa SPRM turut mengambil langkah serupa.“Saya berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana memandang kes ini dengan serius demi kebaikan anggota polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa benar-benar mahu membanteras kegiatan rasuah di negara ini," ujarnya.Sehubungan itu Tyzo juga menyarankan kepada orang ramai agar tidak takut untuk melaporkan salah laku penjawat awam atau sesiapa sahaja agar perbuatan rasuah dapat dibanteras sepenuhnya.