Shila gembira dengan dua pencalonan yang diterimanya pada AIM. PETALING JAYA: Pemenang pertandingan Asia Wave 2012, Shila Amzah sedih apabila tidak dapat menghadiri Anugerah Industri Muzik ke 19 (AIM 19) yang bakal berlangsung pada 17 November depan di Stadium Melawti Shah Alam selepas pertama kali dicalonkan dalam dua kategori sebagai artis solo.Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, pada tarikh tersebut dia akan membuat persembahan pembukaan untuk artis terkenal Eric Moo dalam konsert siri jelajah penyanyi itu di Beijing, China. "Pada dasarnya saya mahu menghadiri AIM tahun ini kerana ini adalah kali pertama saya dicalonkan sebagai artis solo tambahan pula lagu Patah Seribu yang tersenarai untuk anugerah itu adalah ciptaan saya sendiri."Saya juga terpaksa menolak tawaran daripada pihak produksi AIM untuk mengadakan persembahan pada malam itu kerana akan berada di China," ujarnya kepada mStar Online.Shila dicalonkan dalam dua kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) dan Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Patah Seribu.Dalam pada itu, Shila memberitahu dia teruja apabila dicalonkan dalam dua kategori tersebut di samping nama-nama besar lain.Ujarnya pencalonan yang diberikan sudah menjadi kemenangan buatnya apabila lagu ciptaannya dipilih antara lima lagu terbaik di negara ini."Ia cukup bermakna buat diri saya kerana dapat dicalonkan bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi penulis lirik dan komposer," katanya.Sementara itu, Shila gembira apabila semakin ramai muka-muka baru yang dicalonkan dalam anugerah berprestij itu dan melihat perkara itu sebagai satu pertumbuhan positif.Katanya, mereka benar-benar berbakat kerana selain berkebolehan menyanyi, berkeupayaan juga menulis lirik dan lagu sendiri sehingga berjaya dicalonkan dalam AIM."Ini menunjukkan perubahan positif dalam industri muzik tempatan dan bakat mereka diterima dengan baik," ujarnya.