suria

Usah Besarkan Isu Permit Kerja - Randy Pangalila

Randy Pangalila sedang mencipta populariti di negara ini.
Randy Pangalila sedang mencipta populariti di negara ini.
Randy Pangalila sedang mencipta populariti di negara ini.

KUALA LUMPUR: Pelakon Indonesia, Randy Pangalila berkata isu yang mempertikaikan kedatangannya untuk berlakon di negara ini disebabkan faktor salah faham oleh pihak tertentu.

Randy atau nama sebenarnya Randy Dionisius Pangalila, 22, berkata, sebagai pelakon asing yang mencari peluang lakonan Malaysia, dia enggan memberikan ulasan lanjut atau membesarkan isu terbabit.

"Isu itu timbul kerana salah faham dan komunikasi pihak tertentu. Saya tidak mahu bercerita lanjut kerana ia akan memburukkan keadaan sahaja.

"Sebagai pelakon asing, saya begitu menekankan aspek permit dan peraturan untuk berlakon di sini. Sebelum memulakan penggambaran lagi, saya sudah memenuhi semua keperluan itu," katanya.

Randy berkata demikian bagi mengulas pertikaian Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi tidak lama dulu mengenai kehadirannya yang diberikan program khas pada Hari Raya lalu iaitu Randy! Oh My Raya yang mungkin dilakukan tanpa prosedur yang betul.

Malah, Zed turut mempertikaikan pelakon itu yang tidak menjadi ahli Seniman, di mana ia adalah peraturan wajib bagi seseorang yang ingin terlibat dalam produksi di negara ini.

Mengenai hubungannya dengan aktres sinetron Nada Cinta iaitu Michella Putri, Randy berkata, mereka sudah bercinta sejak dua tahun lalu.

"Saya sudah ada kekasih iaitu Michella Puteri. Hubungan kami berada dalam keadaan baik walaupun masing-masing sibuk dengan lakonan.

"Gosip yang mengaitkan saya dengan pelakon Malaysia iaitu Elfira Loy tidak menggugat hubungan saya dengan kekasih kerana ia hanya cerita kosong dan bukan perkara serius," katanya yang berkunjung kali keempat ke negara ini.

Randy yang pernah bergandingan dengan Elfira dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang sebelum ini, sekali lagi berpasangan untuk drama bersiri terbaru Dalam Hati Ada Taman.

Terbaru, dia sedang sibuk dengan penggambaran sinetro berjudul Raja dan Aku di Indonesia.

Jangan buruk sangka - Michael Ang

Sementara itu Pengarah dan penerbit drama Michael Ang berharap semua pihak tidak buruk sangka terhadap Randy Pangalila yang ditawarkan berlakon dalam banyak drama arahannya.

Katanya, tawaran dalam beberapa projek termasuk drama Dalam Hati Ada Taman adalah strategi perniagaan berdasarkan respons dan permintaan terhadap aktor itu di negara ini.

"Saya harap jangan ada pihak yang salah faham atau buruk sangka dengan keputusan saya. Saya menawarkan peluang lakonan kepadanya dalam projek-projek saya atas strategi perniagaan.

"Sebagai penerbit, tentulah saya perlu melihat formula yang berkesan untuk karya-karya saya. Kebetulan, Randy digemari ramai di sini, jadi mengapa tidak saya menggunakan formula itu.

"Soal mengagungkan atau memberikan tawaran kepada pelakon luar tidak timbul kerana saya juga membuka peluang kepada ramai anak seni tempatan selama ini," katanya

Selain Randy dan Elfira Loy, drama bersiri 13 episod itu turut dibantu Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, Liza Abdullah, Didie Alias, Amar Asyraf dan Hanez Suraya.

Ia bakal disiarkan bermula 29 Oktober ini pada setiap Isnin pukul 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).

Menyambung perbualan, Michael berkata, perkara tersebut tidak wajar dipertikaikan kerana dia peka dan menekankan peraturan bagi sesebuah penggambaran.

"Saya peka dan menjaga aspek perlesenan, permit mahu pun peraturan dalam menjalankan sesebuah penggambaran di negara kita," katanya.

Mengenai drama tersebut Michael berkata, ia menjanjikan kelainan menerusi syot yang dipaparkan seperti dalam sesebuah produksi filem.

"Saya banyak memaparkan syot yang besar, luas berbanding syot biasa dan jarak dekat dalam majoriti drama televisyen," katanya yang berhasrat menerbitkan versi filem jika drama itu mendapat sambutan yang baik kelak.

Drama yang menjalani penggambaran pada Mei hingga Jun lalu di Paris, Perancis dan Kuala Lumpur itu mengambil masa selama 35 hari.

Terbaru, Michael bakal memulakan penggambaran telefilem berjudul Demi Kau Cinta yang menggandingkan Erra Fazira dan Hanez Suraya.

Menerusi syarikat produksi, Cube Film Sdn Bhd, Michael juga akan menerbitkan dua filem iaitu Darah Daging dan KL Meroyan menjelang hujung tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain