suria

Eja Ganti Sofia Sebagai Dr Siti Hasmah

Eja
Eja
Eja

PETALING JAYA: Teater Tun Dr Siti Hasmah yang bakal dipentaskan pada 9 November depan dilanda kontroversi terbaru apabila pelakon utamanya bertukar lagi untuk kali ketiga.

Menurut laporan Berita Harian pada Khamis, selepas pengunduran Erra Fazira pada penghujung Ogos lalu kerana faktor jadual, terbaru Sofia Jane pula disahkan mengambil langkah serupa atas alasan yang sama.

Pengerusi World Islamic Network Television, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan berkata, selaku penerbit pihaknya bersyukur kerana Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin sudi menggantikan peranan sebagai Tun Siti Hasmah ketika usia dewasa itu.

"Saya sahkan Eja menggantikan tempat Sofia untuk membawa watak Dr Siti Hasmah. Dia sudah menjalani latihan dan saya percaya dia boleh membawakan watak itu dengan baik," katanya.

Kontroversi teater ini bermula apabila Adlin Aman Ramlie menarik diri sebagai pengarah dan digantikan Erma Fatima.

Tidak hanya membabitkan pelakon, tarikh asal pementasan yang sepatutnya berlangsung pada 30 Ogos lalu itu turut ditunda dua kali iaitu pada 14 September dan terbaru pada 9 hingga 19 November depan di Istana Budaya.

Ditanya mengenai punca Sofia menarik diri, suami kepada aktres Umie Aida itu berkata, keputusan tersebut dilakukan demi kepentingan semua pihak.

"Mungkin jadual Sofia tidak dapat diselaraskan dengan kehendak produksi hingga dia terpaksa menarik diri.

"Namun, menurut Sofia tindakannya adalah untuk kepentingan semua pihak termasuk produksi teater itu," katanya.

Eja pula berkata, dia yang ragu-ragu untuk menerima tawaran itu pada awalnya, akhirnya bersetuju menyahut cabaran berkenaan setelah diyakinkan Umie dan pengarah teater Erma Fatima.

"Ini adalah pengalaman pertama saya beraksi di pentas teater. Sebelum ini, saya pernah menolak beberapa tawaran kerana tidak yakin. Semuanya berlaku begitu pantas.

"Saya dihubungi Umie dan selepas melihat skrip itu, dia menganggap saya sudah bersetuju untuk watak sebagai Dr Siti Hasmah pada era isteri Perdana Menteri.

"Biasalah Umie memang tidak menerima jawapan 'tidak' untuk permintaan. Dengan kepercayaan dan sokongan, akhirnya saya bersetuju," katanya.

Selain Eja, Lisa Surihani kekal membawakan watak sebagai Dr Siti Hasmah ketika remaja, Esma Daniel sebagai Tun Dr Mahathir dewasa dan Nazim Othman (watak Tun ketika muda) bersama kira-kira 25 pelakon lain.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain